Isteri pening kepala tengok hasil kerja suami, sidai kain merata sebab ampaian penuh

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang isteri yang baru pulang ke rumah dari tempat kerjanya merasa terperanjat apabila kenderaan mewah dijadikan tempat ampaian oleh suaminya.

Wanita yang dikenali sebagai Noraiza Azmi itu sepatutnya merasa lega apabila sang suami terbuka hati untuk membantunya membuat kerja rumah dengan menyidai kain.

Bagaimanapun, Noraiza sebaliknya malah merasa pening kepala dan cuba menahan sabar apabila melihat ‘hasil kerja’ suaminya selepas sampai di depan rumah mereka.

Mana tidaknya, pakaian yang sudah dibasuh dengan bersih itu disidaikan suaminya di atas kereta dan celah-celah pagar berikutan ampaian kain mereka sudah penuh.

Noraiza yang merasa geli hati dengan penemuannya itu turut merakam video memaparkan situasi di halaman rumahnya sebelum membuat perkongsian di laman TikTok.

“Kamu semua tengok ya. Kita kena bersyukur apabila kahwin, ada suami yang baik. Suami yang tolong basuh dan sidai baju. Kiranya OKlah, dia boleh buat kerja rumah.

“Aku memang bersyukur sangat. Alhamdulillah, dapat suami yang rajin seperti ini. Ringanlah beban kita. Balik-balik kerja, tengok baju yang sudah basuh dan bersidai.

“Sepatutnya kita bersyukur. Jangan komen apa-apa. Yang penting bersyukur, janji kain baju kering. Syukur Alhamdulillah,” kata wanita itu dengan nada-nada sindiran.

Lebih mengejutkan, suami Noraiza itu juga turut bertindak menyidai pakaian mereka di pengelap cermin hadapan dan tempat meletak nombor pendaftaran kenderaan.

“Buat tutup nombor plate pun OK juga. Kereta pun sudah tidak perlu dicuci. Ini kira macam kategori basuh kereta jugalah.” Ulas Noraiza dalam rakaman video tersebut.

Tular di media sosial, video yang dikongsi Noraiza itu telah berjaya mendapat lebih daripada 1 juta tontonan dan dibanjiri dengan pelbagai komen oleh pelayar TikTok.

Ramai pengguna memberi cadangan agar Noraiza tidak menegur suaminya kerana khuatir lelaki itu akan berhenti membantu isterinya membuat kerja rumah selepas ini.

Bukan itu sahaja, ada juga individu yang berpendapat bahawa perbuatan suaminya sebenarnya hanya satu tipu helah agar tidak diminta membuat kerja rumah lagi.

“Sebenarnya, ini hanyalah ‘trick’ (tipu helah) orang lelaki supaya tidak disuruh lagi selepas ini,” kongsi seorang pengguna TikTok di ruangan komen hantaran tersebut.

“Jangan tegur Kak. Nanti dia tolong sekali sahaja. Walaupun semak mata kita, janji selesai masalah kain.” Kata pengguna lain yang memberi nasihat kepada Noraiza.

Diharapkan lebih ramai lelaki yang bergelar suami membantu isteri mereka membuat kerja rumah dengan lebih ikhlas. Hati orang rumah gembira, pahala pun dapat!

Baca juga: Tak pernah berahsia, Shukri Yahaya maklum ‘babak panas’ pada isteri