Tanpa pembedahan, Man Raja Lawak berjaya hilangkan 28KG dengan berjalan kaki!

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka dengan hanya berjalan kaki, pelawak dikenali sebagai Man Raja Lawak telah berjaya menurunkan berat badan sebanyak 28 kilogram (kg).

Pemilik nama sebenar Abdul Rahman Kassim itu mengaku dirinya enggan mengambil jalan singkat bagi menurunkan berat badan sebagai contoh, menjalani pembedahan.

Sebaliknya, juara Raja Lawak Musim ke-5 itu lebih selesa menggunakan cara ‘asli’ untuk mendapatkan berat badan yang ideal seperti bersenam, lapor Harian Metro.

Bukanlah sesuatu perkara yang begitu mudah, Man juga tidak menafikan bahawa dirinya turut mengambil produk kesihatan bagi membantu mengawal pemakanannya.

“Dalam satu hari, saya akan mengambil masa kira-kira sejam hingga dua jam untuk berjalan pada waktu pagi dan petang.

“Selain bersenam, saya juga mengambil produk kesihatan untuk mengawal selera makan. Bagi saya, untuk menurunkan berat badan bukannya perkara yang mudah.

“Cara saya menurunkan berat badan juga adalah secara asli bukanlah membuat pembedahan,” kata pelawak berusia 47 tahun itu memetik laporan Harian Metro.

Man turut mengambil peluang untuk menafikan khabar angin yang mendakwa penurunan berat badannya itu kononnya berpunca daripada penyakit kencing manis.

Mengulas lanjut, Man memaklumkan bahawa kunci untuk menurunkan berat badan secara semula jadi adalah kekuatan mental atau dalam bahasa mudahnya, sabar.

“Segelintir netizen mendakwa saya menghidap kencing manis. Perkara itu tidak benar. Saya menurunkan berat badan atas faktor menjaga kesihatan dan penampilan.

“Kita perlu memiliki semangat dan kesabaran tinggi dalam menurunkan berat badan. Sekarang, saya lebih yakin dalam pemilihan pakaian dan ia juga memberi semangat kepada diri.

“Dahulu, apabila melihat orang lain yang memakainya (baju) kelihatan cantik dan kini saya juga merasakan kecantikan itu dalam diri sendiri.” Ulasnya yang mencapai berat 67kg.

Difahamkan, Man menurunkan berat badan dari 95 kilogram (kg) pada Julai kepada 67kg sekitar Oktober lalu dengan berjalan kaki kira-kira sejam hingga dua jam sehari.

“Antara perubahan diri yang ketara adalah lengan semakin kecil. Sekarang saya juga seronok sudah boleh pakai baju saiz S dan M. Seluar pun bersaiz 29!.” Kongsi Man.

Baca juga: Isteri pening kepala tengok hasil kerja suami, sidai kain merata sebab ampaian penuh