Penyanyi, Fareez Fauzi yang juga anak kepada pelakon Fauzi Nawawi mendakwa dia pernah diundang untuk membuat persembahan nyanyian, namun tidak dibayar.
Kejadian itu berlaku di sebuah acara sambutan hari raya suatu ketika dahulu, di mana majlis tersebut diadakan oleh rakan kepada bapanya.
Fareez berkata, awalnya penganjur berkata akan memberikan token untuk persembahannya, tetapi tidak menyangka token tersebut hanyalah sepasang baju Melayu.
Sedangkan jika dikira-kira, dia mempersembahkan banyak lagu, lebih kurang satu mini album jumlahnya.
“Saya pernah diundang buat persembahan tetapi tidak diberikan bayaran langsung. Tetapi pihak penganjur hanya berikan baju raya sahaja. Itu pun hanya sepasang.
“Dia kata ada token, saya fikir token itu dalam bentuk duit rupanya baju raya. Waktu itu persembahan untuk acara hari raya.
“Banyak juga lagu yang saya nyanyi, lebih kurang satu mini album jumlahnya. Lagi pula itu majlis kawan bapa saya,” katanya kepada media semalam.
Bagaimanapun penyanyi berusia 27 tahun itu menganggap kejadian tersebut sebagai ujian buatnya.
“Apa pun saya anggap itu ujian untuk saya. Mungkin saya pernah buat salah dekat orang. Saya hanya nak bersangka baik sahaja.
“Selain itu ada juga semasa PKP saya terima tawaran seorang pakcik minta saya nyanyi dekat bawah kawasan rumah flat. Saya anggap itu beramal,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Fareez akan membuat persembahan sepanjang bulan Ramadan di Hotel Royal Singnature, Kuala Lumpur.
Untuk info, Fareez merupakan juara program nyanyian Mentor Milenia 2016 yang ketika itu penyanyi Hazama merupakan Mentor kepadanya.
Baca juga: Lauk kenduri kegemaran ramai! Ini resipi daging masak hitam yang anda boleh cuba