“Aku tak sangka dosa masa lampau kembali menghantui, suami kantoi berzina dengan anak dara…”

Oleh MAISARAH AISYA

Setiap manusia ada kisah lampau yang boleh dijadikan pengajaran, malah ada sehingga kini dibelenggu rasa bersalah.

Pernah melakukan dosa dengan tidur dengan suami orang, seorang wanita tidak menyangka si suami akan melakukan hal yang sama.

Hanya mahu dikenali sebagai Lisa, dia mengakui tidak beruntung dalam perhubungan, baginya ini semua mungkin kerana kesilapannya di awal fasa dewasa.

Ketika berusia 21 tahun, dia dipertemukan dengan teman lelakinya, Zack, mereka sudah bercinta dari zaman sekolah.

Namun rezeki mereka berbeza, wanita tersebut menyambung Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dan lelaki tersebut ke menara gading.

Apabila cuti sudah berbeza maka sukarlah untuk berjumpa, satu hari Lisa bertemu Zack sambil ditemani abang sepupu teman lelakinya, Khai.

Jika dibandingkan, Zack lebih pendiam, tidak seperti Khai yang ramah. Maka bermulalah titik hitam selepas Lisa nekad bertukar nombor bersama Khai.

Hubungan mereka bertambah akrab, setiap malam pasti berhubung. Meskipun mengetahui Khai sudah berkahwin namun dia tetap meneruskan hubungan itu.

Disebabkan Zack kurang menghubunginya maka dia semakin terbuai dek lelaki orang itu sehingga terlanjur. bukan sekali malah kerap.

Walaupun sudah tidur bersama lelaki lain, Lisa tetap tidak memutuskan hubungannya dengan Zack.

Taktala timbul rasa insaf dalam diri, mulalah Khai muncul dan merayu hingga Lisa kembali terjerumus melakukan perkara hina itu.

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Zack pulang secara mengejut dan meminta untuk melihat telefon Lisa dan saat itulah semua mesej terbongkar.

Tak dapat dilupakan kemarahan Zack, Lisa sanggup menahan teman lelakinya dari memberitahu isteri kepada sepupunya dan berjanji untuk tidak menghubungi Khai.

Bimbang Khai akan berhubung, Zack menyuruh Lisa untuk tinggal bersama kakaknya di negeri lain.

Zack mula berubah, lebih kerap menghubunginya, lebih banyak bercerita berbanding dulu.

Ketika itu Lisa betul-betul menghabiskan masa dengan solat taubat. Rasa bersalah yang menggunung kepada Zack yang begitu baik hati.

Namun dalam masa yang sama, dia tetap merindukan Khai. Kadang-kadang rindu, dan kadang-kadang terlalu kerana dia seolah-olah terbebas begitu saja.

Hinggalah dia mendapat pekerjaan, dan memutuskan untuk tinggal sendiri sambil simpan duit.

Selepas tidak lagi menumpang, memikirkan hubungan dengan Zack yang semakin serius, dia bimbang kisah gelap akan kembali menghantui apatah lagi akan kerap berjumpa Khai selepas berkahwin.

Lisa sendiri tidak tahu bagaimana mahu bersemuka dengannya, tali persaudaraan tak akan putus, sedih dan rasa jijik kembali menghantui dirinya.

Akhirnya Lisa membuat keputusan untuk meninggalkan Zack dan memaklumkan keluarga untuk tidak memberitahu teman lelakinya tentang dimana dia berada.

Lisa akhirnya berkahwin dengan pilihan keluarga, tujuh tahun perkahwinan, suaminya kantoi curang bersama anak dara walaupun sudah anak bersama.

Menganggap ini semua balasan tuhan, bagi Lisa, sejadah menjadi tempat pertama memohon berjuta keampunan daripada Allah.

Akhirnya dia dan suami bercerai secara baik, dia menerima ini sebagai kifarah untuk dosa yang lalu.

Lisa mengharapkan kisahnya dijadikan iktibar buat para wanita bujang yang bercinta dengan suami orang, kerana pada akhirnya yang tersakiti adalah wanita.

Baca juga: “Semua bil aku bayar, hari tu pergi bercuti dengan keluarga dia pun guna duit aku, senang betul jadi suami”