Hati insan manakah yang tidak hancur berkecai apabila memandikan jenazah adik tersayang tanpa kedua-dua anggota kaki dan tangannya.
Itulah penderitaan yang terpaksa dialami keluarga Bella atau nama sebenarnya, Mila Sharmila Samsusah selepas rangkanya akhirnya ditemui pada Jumaat, minggu lalu.
Mengundang simpati, luahan menyayat hati itu dikongsi oleh kakak Bella sendiri iaitu Norhisham menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya.
Wanita berusia 36 tahun itu mengakui, dirinya sudah tidak mampu mengawal emosi ketika melihat rangka milik adiknya di Hospital Sultan Ismail (HSI), Rabu lalu.
“Selesai urusan, tiba masa untuk menuntut jenazah di Forensik HSI. Allahuakbar.. Allahuakbar.. Terkejut saya apabila melihat rangka Bella yang hanya tinggal beberapa sahaja.
“Hancur hati, sehancur-hancurnya apabila menerima Bella dalam keadaan macam ini. Kenapa buat adik saya seperti ini. Hanya tengkorak (kepala) kesan pecah kena hentak benda tumpul.
“Rongga mata ada satu, tulang rusuk, dan punggung. Itu sahaja. Mana kedua kaki dan tangan Bella? Rasa macam nak memberontak, mengamuk, menjerit sekuat hati bagi semua tahu betapa hancurnya hati saya,” tulisnya.
Mengenangkan azab yang terpaksa ditanggung Bella, Norhisham dan ibunya serta seorang ustazah turut memandikan rangka itu dalam keadaan berlinangan air mata.
Tidak menyangka pencarian Bella berakhir dengan tragedi, Norhisham turut meminta bantuan mencari anggota yang hilang agar adiknya dapat dikebumi dengan lengkap.
“Saya, mak dan ustazah mandikan rangkanya. Berderai air mata kami. Korek-korek kotoran dalam tengkorak. Kenapa pelaku sangat kejam, sangat zalim? Kenapa buat Bella sehingga begitu tragik?
“Kami tersangat rapuh dalam situasi ini. Kenapa pengakhiran pencarian saya seperti ini? Mana kedua kaki dan tangan Bella yang tiada (hilang). Siapa boleh carikan untuk saya selepas 36 hari?
“Saya nak Bella (dikebumikan dengan) lengkap. Tolonglah faham apa yang saya rasa,” rayu pemilik akaun Facebook yang menggunakan Mia Icha itu dalam hantaran yang sama.
Norhisham turut menjelaskan isu mengenai dirinya yang dikatakan telah bertindak di luar kawalan selepas suspek iaitu teman lelaki Bella dituduh di Mahkamah Majistret, Rabu lalu.
“Selepas perbicaraan di mahkamah, ada yang pertikai kenapa lebih-lebih nak adakan rusuhan. Perasaan marah yang mendidih itu datang secara tiba-tiba apabila melihat tertuduh.
“Bersusah-payah saya mencari Bella siang dan malam. Tanya sana dan sini. Semua ceruk-ceruk tempat saya masuk. Rupanya dia tahu sesuatu tetapi disorok. Terbayang muka penipuan dia.
“Katanya, ‘saya tak tahu kak, sudah tinggalkan dia tepi jalan dan ada orang ambil’. Sebenarnya kau sudah bunuh dia. Saya sudah beritahu awal-awal, teman lelakinya tahu sesuatu.” Rintih wanita itu.
Terdahulu, Bella yang merupakan ibu tunggal dua anak itu dilaporkan hilang pada 14 Disember lalu sebelum polis menemui rangka di sebuah rumah terbiar di Batu 7, Tongkang Pecah, Batu Pahat, Johor.
Rangka tidak lengkap itu disahkan milik Bella selepas hasil keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mendapati ia sepadan dengan sampel DNA kakak dan ibu mangsa.
Teman lelaki Bella yang berusia 24 tahun iaitu Mohammad Haikal Mahfuz kemudian dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan membunuh wanita itu pada akhir Disember lalu.
Didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, mahkamah menetapkan tarikh 19 Februari depan bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.
Baca juga: Guna kisah arwah bapa untuk jual insuran, Amylea luah rasa tidak puas hati, mahu saman individu