Ibu bapa dakwa sekolah sesuka hati potong bantuan BAP, cuma dapat RM50 je daripada RM150

Oleh KIM SYAZIE

Seorang individu mendakwa pihak sekolah anaknya hanya memberikan RM50 sahaja ketika proses pengagihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang sepatutnya berjumlah RM150.

Individu tersebut, dipercayai ibu bapa yang menggunakan akaun sam_me25 mendakwa, pihak guru di sekolah tersebut memotong RM100 sebagai bayaran yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Koperasi.

Meluahkan hal itu di sosial media, ibu bapa tersebut juga menyebut (mention) nama Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan harapan perkongsiannya mendapat perhatian Perdana Menteri.

“Perdana Menteri @anwaribrahim, tadi ibu bapa kena suruh ke sekolah ambil bantuan awal persekolahan RM150. 

“Tapi kami diberi RM50 sahaja sebab kami kena bayar yuran PIBG dan Koperasi. Ada ibu bapa yang terpaksa merayu untuk dapatkan RM150 itu,” tulisnya di aplikasi x.

Malah menurutnya, terdapat juga ibu bapa yang terpaksa merayu untuk mendapatkan jumlah penuh RM150 kerana RM50 sahaja tidak cukup untuk memberi barang persekolahan.

“RM50 mana cukup untuk beli baju sekolah,” ujarnya.

Menerusi ciapan sama, sam_me25 turut berkongsikan bukti resit pembayaran bagi kedua-dua perkara perkara berkenaan.

Bagaimanapun, hantaran itu tidak mendedahkan sekolah yang dimaksudkan melakukan tindakan sedemikian.

Sementara itu, di ruangan komen, terdapat warganet yang menyatakan bahawa ibu bapa tidak sepatutnya dipaksa untuk membuat bayaran bagi kedua-dua perkara tersebut yang hanya berbentuk sumbangan dan bukannya yuran.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan terbaru semalam menegaskan penyaluran BAP sebanyak RM150 bagi setiap murid perlu dilakukan tanpa sebarang bentuk pemotongan.

KPM memaklumkan, pihaknya prihatin terhadap beberapa aduan yang diterima berkaitan penyaluran peruntukan BAP kepada murid.

Menurut kementerian itu, pihak sekolah perlu mematuhi semua garis panduan berkaitan pelaksanaan BAP kepada murid.

Bermula bulan ini, ibu bapa di seluruh negara mula menerima Bantuan Awal Persekolahan yang diperuntukkan Kerajaan menerusi Belanjawan 2024.

Bayaran bagi bantuan tersebut akan diagihkan kepada murid secara tunai atau kredit ke akaun masing-masing

Baca juga: Guna Air Fryer pun boleh! Wanita kongsi resipi roti kacang merah, bun manis