Lelongan Pulau Daat di Labuan ditutup, dibeli warga asing dengan harga RM80 juta

Oleh WAN SITI AMINAH

Sesi lelongan sebuah pulau yang terletak di antara Menumbok, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan akhirnya terhenti selepas ia berjaya dibeli oleh seorang individu.

Mula dilelong sejak tiga tahun lalu, Pulau Daat kini dimiliki oleh individu dipercayai warga asing yang berjaya membelinya dengan harga rendah berbanding nilai asal.

Dedah sumber dipercayai, urusan jual beli Pulau Daat yang berharga RM80 juta itu telah diselesaikan baru-baru ini, lapor media dari Sabah iaitu Daily Express Malaysia.

Walau bagaimanapun sehingga kini, identiti sebenar berhubung pemilik baharu pulau berkeluasan 587 ekar itu masih belum didedahkan oleh mana-mana pihak.

Berdasarkan geran yang dikeluarkan pada tahun 1856 lalu, pemilik pertama Pulau Daat adalah warganegara British iaitu John Gavaron Treacher dan Clarence Cooper.

Difahamkan, geran tersebut dikeluarkan oleh Gabenor Labuan yang dikenali sebagai George Warren Edwardes bagi pihak Ratu Victoria yang juga Ratu England ketika itu.

Pemilikan pulau tersebut kemudian bertukar tangan buat beberapa kali sehingalah ia dibeli oleh syarikat pembangunan dan pengurusan hartanah iaitu Potensi Bernas.

Hartanah ini pernah menarik perhatian pelabur berhubung satu pelan perancangan pembangunan kompleks petroleum bersepadu bernilai RM3 bilion pada tahun 2011.

Pelan bagaimanapun dibatalkan berikutan geografi Pulau Daat yang cetek dan juga berlumpur, sekali gus tidak sesuai dibangunkan sebagai kawasan industri minyak dan gas.

Difahamkan, hartanah berkenaan mula dijual secara lelongan pada tiga tahun lalu iaitu 2021 dengan harga rizab yang ditetapkan waktu itu adalah setinggi RM135 juta.

Lelongan kemudian dibuat dibuat sekali lagi pada 2022 dengan harga RM 121.5 juta atau RM4.80 satu kaki persegi susulan pembubaran syarikat Potensi Bernas Sdn Bhd.

Pulau yang terbiar itu akhirnya mempunyai pemillik baharu selepas ia berjaya dibeli oleh seorang warganegara asing dengan harga yang jauh lebih murah iaitu RM80 juta.

Sekadar info, Pulau Daat yang juga sebahagian daripada Wilayah Persekutuan Labuan ini mempunyai tempoh pajakan selama 999 tahun yang tamat pada 31 Disember 2853.

Baca juga: Ibu bapa dakwa sekolah sesuka hati potong bantuan BAP, cuma dapat RM50 je daripada RM150