Mizz Nina akhirnya dedah cerita sebenar, Noh Hujan rupanya dah lama hilang hak ini

Oleh WAN SITI AMINAH

Sekian lama berdiam diri, aktivis kemanusiaan iaitu Mizz Nina akhirnya menjelaskan situasi sebenar mengenai ‘perebutan’ anak angkatnya, Musa dengan bekas suami.

Mizz Nina yang pernah bergelar penyanyi itu mendedahkan, bekas suaminya iaitu Noh Salleh sudah lama hilang hak penjagaan ke atas Musa selepas mereka bercerai.

Hal ini kerana, vokalis kumpulan Hujan itu dengan rela hati telah menandatangani dokumen undang-undang yang memberi hak penjagaan penuh kepada Mizz Nina.

Nina atau nama sebenarnya, Shazrina Azman mengakui terpaksa membongkarkan perkara ini supaya tiada lagi spekulasi atau fitnah berhubung hak penjagaan Musa.

Tular di media sosial, perkara tersebut dikongsikan wanita yang berusia 44 tahun itu menerusi satu hantaran dimuat naik di akaun Instagram miliknya, pada pagi Ahad.

“Selepas bercerai, dia (Noh) dengan rela hati menandatangani dokumen undang-undang yang memberi saya hak sepenuhnya untuk menjaga Musa dihadapan pesuruhjaya sumpah. 

“Sejak daripada hari itu, dia sudah hilang hak untuk menjadi penjaga Musa. Saya tidak mahu merumitkan keadaan, hanya mahu memberitahu kisah sebenar supaya tiada lagi spekulasi atau fitnah.

“Ini bukan sekadar cerita dari sudut pandangan saya. Tetapi ini adalah kebenaran dan semoga Allah sentiasa membuka pintu kebenaran,” kata pelantun lagu What You Waiting For itu.

Dalam hantaran yang sama, Mizz Nina turut meluahkan kekecewaan terhadap Noh yang berkali-kali bertindak melanggar privasi Musa dan juga ibu kandungnya.

Mizz Nina turut menyangkal dakwaan pemilik nama sebenar Mohammad Noh Salleh itu yang kononnya tidak tahu menahu mengenai perjanjian privasi anak angkat mereka.

“Bekas suami telah memungkiri janji dengan memuat naik wajah Musa di internet. Kemudian berkata dia tidak tahu mengenainya. Sedangkan dia tahu. Mulai saat itu, privasi Musa telah terjejas dan hidupnya tidak akan lagi sama. 

“Bekas suami kemudian mendedahkan nama ibu kandung Musa dalam kenyataan permohonan maaf yang berlawanan dengan tujuan hantaran dibuat. Langsung tidak sensitif dengan keinginan ibu kandung Musa untuk tidak dikenali.

“Dia sekali lagi telah mendedahkan privasi ibu kandung sejurus selepas wajah Musa didedahkan (di media sosial),” ulas Mizz Nina dengan nada yang kesal terhadap Noh.

Dalam pada itu, Mizz Nina turut berkongsi keresahan yang dialaminya selama Musa dilarikan oleh Noh selama lebih dari tiga minggu tanpa khabar berita atau gambar.

Musa bagaimanapun dipulangkan selepas Mizz Nina memperoleh perintah ex-parte (sebelah pihak) daripada Mahkamah Syariah bagi mendapatkan semula hak terhadap Musa.

“Musa dilarikan tanpa kebenaran dan pengetahuan saya serta sebarang makluman tentangnya. Anak saya dilarikan. Saya pelihara dan susukan Musa dua hari selepas dia dilahirkan. 

“Selama dua tahun kami tidur bersama, jalani rutin harian dengan mengikuti kelas dan bercampur gaul dengan kawan-kawannya. Tetapi baru-baru ini dia dilarikan ketika secara sah diletakkan dalam jagaan saya.” Ulasnya.

Difahamkan, Musa dilarikan Noh ketika Mizz Nina berada di Tokyo, Jepun atas urusan kerja dengan bantuan pengasuh yang diupahnya sendiri bagi menjaga kanak-kanak itu.

Baca juga: Noh Salleh mohon maaf dedah wajah anak angkat, hormati permohonan ibu kandung