“Nafkah aku cecah empat angka, hidup suami berubah lepas dengar ceramah ustaz”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita tidak menyangka keputusan suami untuk menunaikan nafkah belanja telah merubah kehidupan keluarganya dengan sekelip mata.

Nampak seperti isu yang remeh, wanita itu mula mencadangkan suaminya itu untuk menunaikan nafkah bulanan selepas mendengar ceramah daripada seorang ustaz.

Tidak termasuk dengan perbelanjaan isi rumah seperti makanan, pakaian dan juga perbuatan, nafkah tersebut adalah wang khusus untuk kegunaan peribadi isterinya.

Siapa sangka, suaminya yang dahulu hanya boleh mengeluarkan nafkah sebanyak RM10 sebulan kini telah menerima gaji berlipat kali ganda dan mampu hidup mewah.

Berikut adalah perkongsian wanita yang bernama Airin yang mengalami perubahan selepas suaminya mula menjalankan tanggungjawabnya dalam menunaikan nafkah.

“Aku dah berkahwin selama 8 tahun dengan seorang lelaki yang bekerja di bidang profesional. Tetapi, suami aku mempunyai masalah kewangan dari awal perkahwinan dan aku tahu benda itu dari sebelum kahwin. Tiada masalah sebab aku sanggup hadapi kesusahan itu bersama. Aku terima sebab aku sangat suka akan budi pekerti, adab dan cara dia layan aku.

“Masa kahwin aku tak bekerja sampailah sekarang. Satu sebabnya, bunting pelamin. Punca kedua kerana suami minta untuk jadi suri rumah dan fokus dekat anak sahaja. Dari segi lain, suami aku boleh dikatakan ibarat suami mithali. Sangat baik dan sentiasa utamakan isteri dan anak. Apa saja permintaan, dia akan cuba sedaya upaya untuk turuti.

“Awal perkahwinan, pendapatan suami boleh dikatakan hampir semua habis bayar komitmen. Masa itu gajinya lebih kurang RM6000. Bagi orang lain, gaji tersebut mungkin dah boleh hidup selesa. Tapi kami masih menumpang rumah keluarga suami. Cukup-cukup makan sahaja. Namun waktu itu aku bersyukur apa adanya.

“Sampailah suatu hari, aku terdengar ini ceramah daripada seorang ustaz;

“Isteri, mintalah duit nafkah dari suami. Kalau suami mampu bagi RM5 sebulan pun tak mengapa. Mintalah. Dan masa bagi duit nafkah tu suami kena cakap ,’ini duit nafkah untuk awak bulan ini’. Rezeki akan lebih melimpah ruah,” kata ustaz itu.

“Duit nafkah ini untuk duit belanja isteri sahaja. Bukan untuk bayar bil api, air atau belanja anak-anak. Aku kongsi ceramah itu dengan suami. Suami cakap insya-Allah, mula dari bulan depan dia akan amalkan. Bulan depannya suami mula bagi duit RM10. Bayangkanlah, gaji RM6000 tapi mampu bagi duit bulanan RM10 sahaja untuk isteri. 

“Tetapi aku bersyukur sahaja kerana tahu setakat mana kemampuan dia. Awal perkahwinan tu boleh dikatakan nak beli baju sepasang pun kena fikir-fikir. Nak beli baju raya pun tak mampu. Ada RM100 kena kongsi untuk beli dua pasang baju raya. Satu untuk aku, satu untuk suami. Aku pilih baju yang paling murah, walaupun hakikatnya aku tak berkenan. 

“Setiap kali bagi duit nafkah suami akan cakap, ‘ini duit nafkah untuk sayang bulan ini. Maaf abang tak mampu bagi banyak. Sayang doakan abang murah rezeki ya’. Aku tahu segala duit keluar masuk suami. Kadang kalau nak beli barang keperluan pun aku pakai sahaja kad dia. Tiada rahsia antara kami dalam segala bab kata laluan akaun bank, media sosial, atau telefon bimbit.

“Pelik kan kenapa kena bagi duit nafkah kalau boleh guna kad dia? Sebab duit nafkah ini sebenarnya lebih kepada formaliti untuk keberkatan. Ustaz cakap dengan cara itu isteri akan lebih redha dan mendoakan suami. Bulan demi bulan kami amalkan. Makin banyak perubahan yang kami alami. 

“Suami dapat kenaikan gaji yang banyak selepas dua bulan dia mula bagi duit nafkah. Kami pun mula mampu menyewa rumah sendiri. Setiap kali gaji naik, suami naikkan jumlah duit nafkah yang diberi. Tahun demi tahun, pendapatan suami makin banyak. Pangkat juga makin naik. Allah memudahkan semuanya.

“Selepas 8 tahun, gaji suami tiga kali ganda dari awal perkahwinan. Duit nafkah yang bermula dari RM10 pun sudah bertukar menjadi empat angka. Hutang juga banyak yang sudah selesai. Sekarang hidup kami jauh lebih selesa. Nak makan apa? Semua suami tunaikan. Nak melancong? Suami bawakan. Nak beli apa-apa? Insya-Allah dia belikan selagi masih dalam kemampuan.

“Itulah antara keajaiban duit nafkah yang kami rasai. Jangan salah faham. Selain daripada duit nafkah, nafkah-nafkah lain juga haruslah dijaga. Nafkah zahir dan batin. Tak dinafikan suami aku sentiasa sedaya upaya menjaga hati aku dalam setiap perkara. Tidak pernah satu keputusan pun dibuat tanpa bertanya kepada aku.

“Dia tak pernah biarkan aku merajuk lebih dari sejam. Jarang sangatlah gaduh. Merajuk pun 10 minit baik semula. Suami selalu cakap, ‘janganlah merajuk dengan abang. Kalau kita bermasam muka nanti rezeki tak masuk’. Tapi dalam rumahtangga mestilah kena ada merajuk-merajuk jugakan barulah meriah.

“Dari Ibnu Abbas r. a : Nabi saw bersabda yang bermaksud, ‘sebaik-baik kalian adalah yang paling baik kepada isterinya, dan aku (Nabi saw) adalah orang yang paling baik di antara kalian kepada isteriku’. Itu sahajalah saya nak kongsi. Terima kasih yang membaca. Semoga kita semua sentiasa dalam rahmat Allah swt.” Jelas Airis, bukan nama sebenar.

Baca juga: Senang masak rendang lepas ini, rupanya banyak cara lembutkan isi ayam pencen