Hadir ke mahkamah tanpa sebelah mata, tak sangka ini penyakit Daim Zainuddin

Oleh WAN SITI AMINAH

Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin akhirnya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan gagal mengisytiharkan sebanyak 71 harta miliknya.

Mengaku tidak bersalah, Daim hanya menjawab ‘faham’ dan ‘minta bicara’ sejurus sahaja pertuduhan tersebut dikemukan terhadapnya di hadapan Hakim, Azura Alwi.

Namun, apa yang menjadi perbincangan hangat di kalangan pengguna media sosial adalah perubahan drastik dialami oleh tokoh konglomerat berusia 84 tahun itu.

Bukan sahaja dibawa masuk ke mahkamah dengan berkerusi roda, perubahan pada wajah Tun Daim terutamanya di bahagian mata turut menimbulkan satu tanda tanya.

M Puravalen yang mengetuai pasukan peguam bela mengakui anak guamnya iaitu pemilik nama sebenar Che Abdul Daim Zainuddin itu mengalami masalah kesihatan.

Selain buah pinggang dan angin ahmar, Daim dikatakan turut mengalami jangkitan kuman sehingga telah menyebabkan sebelah matanya dibuang, lapor Berita Harian.

“Yang Arif boleh lihat sendiri keadaannya yang hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda. Beliau adalah pesakit buah pinggang dan pernah diserang angin ahmar.

“Malah, sebelah matanya sudah dikeluarkan kerana dijangkiti kuman,” katanya ketika membela anak guamnya di hadapan hakim, memetik laporan Berita Harian.

Puravalen berkata sedemikian agar mahkamah tidak mengenakan syarat tambahan terhadap Tun Daim Zainuddin dengan menyerahkan pasport selepas diikat jamin.

Mengikut pertuduhan, Daim didakwa gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tidak mengisytiharkan 70 aset dan satu akaun bank miliknya.

Kesemua harta itu, antaranya adalah enam kereta termasuk Mercedes Benz, Jaguar, Austin Morris dan Rolls Royce, 38 syarikat antaranya Ibu Kota Developments Sdn Bhd, Menara Ampang Sdn Bhd dan Avillion Berhad.

Daim juga gagal mengistihar sebanyak 25 hartanah dan tanah di bawah syarikat di Kuala Lumpur, Ampang, Raub, Pahang dan Kuala Muda di Kedah serta akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN).

Kesalahan didakwa dilakukan oleh Daim yang memegang jawatan Menteri Kewangan dari tahun 1984 sehingga 1991 itu di Ibu Pejabat SPRM, No.2, Lebuh Wawasan, Presint 7, Putrajaya pada 13 Disember tahun lalu.

Berdepan dengan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak melebihi RM100,000 jika sabit kesalahan, hartawan itu didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694].

Sementara itu, hakim membenarkan Daim diikat jamin dengan wang jaminan bernilai RM280,000 dan tidak mengenakan syarat jaminan tambahan menimbangkan keadaan kesihatannya.

Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, manakala Daim pula diwakili barisan peguam bela yang diketuai M Puravalen.

Mahkamah telah menetapkan tarikh 22 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Baca juga: Tanggung 2 anak seorang diri, Rita Rudaini kongsi keluarkan semua simpanan masa PKP.