Siapa sangka, anggota polis berpangkat sarjan tergamak meragut kesucian seorang gadis bawah umur di hadapan sebuah balai di Seri Iskandar, Perak.
Lebih memburukkan keadaan, sarjan polis berkenaan turut didakwa mengulangi perbuatan mungkar tersebut terhadap remaja berusia 16 tahun itu di lokasi berbeza.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri maklumkan bahawa suspek yang dipercayai terlibat dengan kes tersebut telah ditahan oleh pihaknya semalam.
Sarjan polis berusia 42 tahun itu diberkas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan, lapor Utusan Malaysia.
Mohd. Yusri turut memberikan jaminan bahawa siasatan kes bakal dijalankan secara telus bagi memastikan keadilan diberikan kepada semua pihak terutamanya mangsa.
“Suspek ditahan reman sehingga Rabu ini untuk siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol. Selain mangsa, kita telah memanggil beberapa saksi lain untuk diambil keterangan.
“(Keterangan diambil) bagi membantu siasatan kes berkenaan. Tidak kira siapa pun suspek termasuk warga polis sendiri, kita akan berlaku adil dan siasat secara telus.
“Disebabkan kes melibatkan anggota polis, siasatan turut dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) untuk tindakan dalaman,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia.
Terdahulu, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun mendakwa bahawa dirinya telah menjadi mangsa rogol anggota polis berpangkat sarjan di Seri Iskandar, Perak.
Kejadian difahamkan berlaku di dua lokasi berasingan pada Julai dan Oktober tahun lalu dan kes tersebut dilaporkan kepada pihak polis pada 20 Januari, baru-baru ini.
Menurut sumber, perbuatan terkutuk sarjan polis tersebut berlaku di dalam kereta di hadapan balai polis dan juga di tempat letak kereta yang berhadapan sebuah pasar raya.
Kejadian bagaimanapun hanya terbongkar selepas remaja malang terbabit akhirnya membuka mulut untuk menceritakan perkara sebenar selepas dipaksa oleh ibunya.
Hasil pemeriksaan kemudian mendapati tiada kecederaan luaran pada tubuh remaja tersebut.