Demi menganjurkan majlis graduasi di hotel mewah, pihak sekolah didakwa sanggup mengenakan bayaran yang tinggi kepada murid-murid.
Bukan itu sahaja, ada juga segelintir pihak sekolah tergamak bertindak ‘mewajibkan’ ibu bapa membuat bayaran tanpa mengira latar belakang dan pendapatan mereka.
Ibu bapa pula terpaksa merelakan wang mereka ‘terbang’ begitu sahaja kerana risau jika anak-anak merasa tertekan atau malu apabila tidak dapat menghadiri majlis itu.
Seorang ibu yang juga seorang pelakon iaitu Adrea Abdullah tampil mempersoalkan ‘kebiasaan baharu’ pihak sekolah yang mengadakan majlis graduasi di hotel mewah.
Jelasnya, keputusan sebelah pihak ini seolah-olah mencerminkan sikap pengurusan sekolah yang tidak sensitif dengan situasi segelintir ibu bapa kurang berkemampuan.
“Keputusan guru besar untuk anjur majlis graduasi di hotel lima bintang seperti buat emotional blackmail (memeras ugut secara emosi terhadap ibu bapa dan murid). Nak tunjuk sekolah kita ‘have-have‘ (kaya) di media sosial?
“Tetapi tidak pula anda fikir ada ibu bapa yang tak mampu? Tidak semua kerja elok. Lagi-lagi ibu bapa yang mungkin ada ramai anak, banyak komitmen. Mana mereka boleh keluarkan duit RM150 atau RM200.
“Kalau lima orang anak macam mana? Setiap tahun pula. Tak masuk akal langsung. Seolah-olah menganiaya ibu bapa dan terasa seperti diperas ugut. Kalau tak bayar kesian pula anak aku sebab orang lain semua bayar,” kongsinya.
Lebih memburukkan keadaan, ada juga pihak pengurusan sekolah pula menubuhkan kumpulan sembang di Whatsapp untuk mengemas kini status pembayaran ibu bapa.
Sudah tentunya menyebabkan ibu bapa merasa lebih tertekan, Adrea turut merasa hairan mengapa pentadbir sekolah memilih tempat yang memerlukan modal besar.
Hal ini kerana, perbelanjaan sebenarnya boleh dikurangkan sekiranya majlis graduasi melibatkan murid-murid ini dianjurkan sahaja di dewan komuniti atau dewan sekolah.
Adrea juga menggesa agar pihak Kementerian Pendidikan (KPM) ikut masuk campur berikutan penganjuran majlis di hotel mewah ini adalah keputusan tidak munasabah.
“Kenapa tak buat di sekolah misalnya? Atau dewan komuniti. Jadi tak mahal. Kalau sekolah antarabangsa tak apa sebab mereka kaya dan tak kisah sangat bayar sampai RM500.
“Ibu bapa juga ada yang merungut kerana anak mereka mesti nak (beli) baju baharu. Itu kena tambah duit lagi. Ibu bapa banyak hutang dan komitmen lain yang perlu dibayar. Takkan nak keluarkan duit untuk benda tak masuk akal. Subahanallah.
“KPM perlu cakap sesuatu sebab perkara ini tidak munasabah untuk ibu bapa bayar duit agar anak mereka dapat hadir ke majlis graduasi.” Tegasnya menerusi hantaran video yang dimuat naik di laman TikToknya itu.
Mengulas lanjut, Adrea berharap agar pihak pengurusan sekolah lebih peka selepas ini dan pastikan pendapat guru lain serta ibu bapa dipertimbangkan terlebih dahulu.
Jika majlis tetap mahu diadakan di hotel mewah, pegurusan sekolah perlu mencari alternatif lain dalam mengutip dana sebagai contohnya menerusi program cuci kereta.