Nombor plat GOLD dibuka untuk dibida! JPJ sasar kutip lebih RM35 juta kalahkan rekod nombor plat FF

Oleh KIM SYAZIE

Selepas kerajaan berjaya mencatat kutipan tertinggi bagi nombor plat FF yang berjumlah RM34.3 juta, kerajaan menyasarkan nombor plat terbaru dengan prefix siri GOLD bakal meraih kutipan mencecah RM35 juta.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pihaknya berharap siri GOLD itu mampu memecahkan rekod kutipan nombor plat siri FF.

Kata Loke, 50 peratus daripada hasil kutipan tersebut akan digunakan untuk pelbagai inisiatif yang akan dilaksanakan oleh kementerian terbabit.

“Kami mengharapkan siri GOLD ini akan menjana banyak hasil. Dari segi rekod (hasil) yang paling tinggi ialah siri FF apabila kementerian dapat RM35 juta,” katanya pada sidang media di Putrajaya semalam.

Tambah ahli Parlimen Seremban itu, 50 peratus kutipan berkenaan akan dimanfaatkan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif rakyat.

Kata Loke, penawaran NPI siri GOLD ini merupakan usaha kementerian untuk melaksanakan inisiatif seperti bantuan lesen memandu, bantuan topi keledar dan subsidi FlySiswa.

Menurutnya, antara inisiatif lain yang akan dijalankan termasuklah pelaksanaan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi kira-kira 40,000 pemandu teksi di seluruh negara tahun ini.

Inisiatif itu merupakan usaha kerajaan membantu golongan terbabit yang majoritinya tidak mempunyai caruman Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP).

“Ramai pemandu teksi dalam kalangan warga emas, jadi kerajaan harapkan inisiatif ini memberikan jaringan keselamatan perlindungan sosial dan kebanyakan tiada caruman Perkeso dan KWSP,” katanya.

Baca juga: Mahu anjur majlis graduasi di hotel 5 bintang, sekolah sanggup ‘peras ugut’ ibu bapa