Lelaki tawar RM5 juta untuk bunuh Anwar menangis dipenjara, rupanya ini identiti pelaku

Oleh WAN SITI AMINAH

“Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya”, itulah pepatah Melayu yang sesuai untuk menggambarkan situasi dialami oleh seorang pemandu lori.

Dihukum penjara selama enam bulan, pemandu lori dikenali sebagai Faizal Mohamad itu terkejut lalu menangis selepas hukuman tersebut dijatuhkan ke atasnya, semalam.

Itulah hukuman diterima Faizal akibat mengancam untuk menembak mati Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menawarkan RM5 juta, enam bulan lalu.

Hakim N Priscilla Hemamalini menjatuhkan hukuman selepas Faizal Mohamad selaku Orang Kena Saman (OKS) telah mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Hukuman dijatuhkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan lelaki berusia 35 tahun itu turut diperintahkan untuk mula dipenjarakan bermula semalam, lapor Harian Metro.

Mengikut pertuduhan, Faizal didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang mengancam sifatnya.

Difahamkan, hantaran itu dibuat melalui perkhidmatan aplikasi Tiktok menggunakan nama profil ‘@jaiadani89’ menerusi pautan https://www.tiktok.com/@jaiadani89.

Hantaran dibuat dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, yang dibaca pada 12 tengah hari, 26 November 2023, di sebuah kondominium di Jalan Tong Shin, Kuala Lumpur.

Pertuduhan dikemukakan ke atasnya mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal berkata, OKS perlu dikenakan hukuman setimpal agar mesej pengajaran dapat disampaikan kepadanya dan masyarakat.

Faizal yang tidak diwakili peguam pula merayu dikenakan hukuman denda kerana perlu menanggung dua anak berusia tujuh dan lapan tahun serta ibu yang menghidap sakit jantung.

Lelaki yang baru mendapat pekerjaan lain dan berpendapatan RM2,000 sebulan itu juga perlu menanggung banyak hutang selain isterinya pula tidak memiliki pekerjaan.

“Isteri tidak bekerja. Saya ada banyak hutang yang belum dibayar dan kelengkapan sekolah anak tak beli lagi. Oleh itu, saya mohon mahkamah bagi tempoh untuk bayar denda kerana saya gaji dalam 5 atau 6 hari bulan,” pintanya.

Terdahulu, pemilik akaun TikTok yang bertindak melakukan ugutan bunuh terhadap Anwar dilaporkan telah ditahan polis di Jalan Padang Tembak, Kota Bharu, Kelantan.

Pelaku telah memuat naik video di platform TikTok untuk menawarkan wang RM5 juta kepada sesiapa yang menembak mati Perdana Menteri, menteri dan ahli-ahli sebuah parti politik.

Walau bagaimanapun, video tersebut telah dipadamkan susulan ia berjaya meraih perhatian ramai dan mengundang pelbagai kritikan daripada pengguna media sosial.

Baca juga: Nombor plat GOLD dibuka untuk dibida! JPJ sasar kutip lebih RM35 juta kalahkan rekod nombor plat FF