Seorang lelaki tempatan tidak menyangka bakal jatuh sakit selama lapan hari gara-gara tindakannya memakan salji ketika melancong ke Jepun.
Berkongsi pengalaman buruknya di platform TikTok, pemuda yang dikenali sebagai Herman Rawi itu turut memuat naik video ketika menyantap ‘bebola’ salji tersebut.
Terlihat begitu teruja dalam video berdurasi 19 saat itu, Herman sempat memberikan ulasan bahawa salji dikunyahnya memiliki rasa yang serupa dengan ais batu biasa.

Namun siapa sangka, tindakan tersebut malah menyebabkan pemuda itu jatuh sakit hingga tidak dapat melakukan sebarang aktiviti selama lapan hari berada di Jepun.
Tidak hanya mengalami demam dan batuk, personaliti media sosial berkenaan turut dijangkiti dengan selsema teruk serta sakit-sakit badan selepas menyantap salji itu.
Oleh yang demikian, Herman mengambil peluang untuk memberikan amaran kepada orang ramai agar lebih berhati-hati dan tentunya tidak mengulangi kesilapannya lagi.
“Salah satu sebab aku demam, batuk, selesema teruk dan sakit badan selama lapan hari dekat Jepun. Habis hancur itinerary (perancangan jadual perjalanan) aku.
“Sila berhati-hati,” tulis Herman Rawi itu pada keterangan video yang berjaya meraih tontonan daripada hampir 1 juta pelayar platform sosial media TikTok tersebut.
Meletakkan kapsyen “biasalah Melayu”, rata-rata pengguna TikTok malah membanjiri ruangan komen video tersebut untuk menyangkal kata-kata yang dituliskan Herman.
Beberapa individu juga tampil mengingatkan orang ramai mengenai keburukan salji yang memang sifatnya memerangkap kuman dan bakteria di udara serta tanah.
“Saya tak pernah rasa teringin nak makan salji pun sebab jenis tak tahan sejuk. Jadi saya tidak tergolong dalam kelompok melayu berkenaan,” kata seorang pengguna.
“Tiadalah abang. Kau seorang sahaja. Kami melayu lain tidak memakan salji. Kami makan ABC (Air Batu Campur) sahaja.” Komen pengguna lain cuba memeriahkan suasana.
Diharapkan perkongsian Herman Rawi ini dapat memberikan pengajaran kepada orang ramai terutamanya mereka yang berpeluang melancong ke negara bersalji.
Baca juga: Lelaki tawar RM5 juta untuk bunuh PM menangis dipenjara, rupanya ini identiti pelaku