Ambil masa 3 hari nak masak! Ini cara nak buat telur pindang Johor, sekali makan ‘confirm’ tak cukup 1

Oleh MAISARAH AISYA

Kebiasaannya telur pindang ini dijumpai semasa menghadiri majlis kahwin di negeri yang terletak di bahagian selatan, Johor.

Prosesnya mengambil masa yang sangat lama dan direbus bersama pelbagai rempah untuk menaikkan aromanya.

Resipi yang dikongsikan oleh pengguna Facebook, Shamsiah Saleh menerusi ‘Masak Apa Hari Ni.. (MAHN)’ adalah untuk kuantiti telur sebanyak 30 biji.

Resipi telur pindang Johor

Kuantiti telur: 20-30 biji

Bahan-bahan rempah:

  • 3 sudu besar ketumbar
  • 3 sudu besar jintan halus
  • 3 sudu besar jintan kasar
  • 6 sudu besar rempah kari
  • 1 cawan kicap pekat
  • 1 ketul halia – hiris dengan kulit sekali
  • 1 ketul lengkuas – hiris dengan kulit sekali
  • 1 labu bwg putih – masuk dengan kulit sekali
  • 4 keping asam keping
  • 4 sudu cuka
  • Garam (lebih masin dari biasa)

Bahan-bahan daun:

“Kuantiti daun ni saya main agak-agak sahaja. Ikut besar periuk. Janji boleh buat alas telur supaya tak bersentuhan antara satu sama lain ketika air mendidih.”

  • Daun jambu batu (wajib)
  • Kulit Bawang (wajib)
  • Daun pandan
  • Daun senduduk
  • 4 batang serai wangi dengan daun
  • Daun limau purut
  • Daun manggis

Cara-cara masak:

  1. Basuh semua telur dan daun terlebih dahulu.
  2. Alas dasar periuk dengan daun terlebih dahulu sebelum menyusun telur-telur secara bulat mengikut bentuk periuk. (Jika periuk tinggi, boleh dilakukan penyusunan berlapis-lapis, asalkan setiap lapisan dialas dengan daun dan bahan lainnya untuk mengelakkan telur retak semasa proses merebus.)
  3. Bancuh bahan rempah dalam mangkuk terlebih dahulu, kacau hingga sebati, baru tuangkan ke atas telur yang telah disusun tadi.
  4. Tutup keseluruhan bahagian atas telur dengan sisa daun yang tinggal. Pastikan untuk menambahkan air hingga menutupi keseluruhan telur dan daun.
  5. Rebus dengan api perlahan selama dua atau tiga hari. Jika menggunakan slow cooker, pastikan untuk mengekalkan proses rebusan yang berterusan.
  6. Jika kekurangan air, boleh menambahnya dengan menggunakan air panas. Selama proses merebus, pastikan telur sentiasa tenggelam dalam air untuk hasil yang terbaik.
  7. Sejurus telur diangkat, elakkan mencucinya. Pastikan tidak ada daun yang melekat. Biarkan telur kering dan sejuk sepenuhnya sebelum memberi pelembap.
  8. Gunakan tisu dapur untuk menyapu atau mengoleskan sedikit minyak masak pada kulit telur agar kelihatan bersinar dan menarik.

Selamat mencuba!

Baca juga: Asyik beli sambal paru dekat kedai? Rupanya senang je buat, tahan lama pula tu!