Vokalis utama kumpulan rock kapak, Stings iaitu Poey kini aktif menerima jemputan untuk membuat persembahan nyanyian di negara jiran, Indonesia.
Menyifatkan peluang tersebut sebagai rezeki daripada Allah SWT, Poey Stings sering kali dijemput menyanyi dalam acara dianjurkan oleh pihak kerajaan negara seberang.
Pemilik nama sebenar Hasri Hashim itu turut meluahkan rasa syukur apabila lepas dari ‘sekatan’ yang biasanya dikenakan kepada penyanyi luar, lapor Media Hiburan.
“Pada saya, ia tak mudah dan seakan ada sekatan untuk artis kita ‘lepas’ membuat persembahan di sana. Tidak seperti artis Indonesia yang bebas untuk buat konsert di sini.
“Hal ini merupakan satu polisi yang dibuat oleh pemerintah di sana. Alhamdulillah, acara saya semua di Indonesia (lepas kerana) di atas undangan pihak pemerintah.
“Saya tak terima kalau undangan tersebut daripada pihak penganjur sesuatu acara sebab kita tak boleh nak jangka kemungkinan yang akan berlaku,” katanya memetik laporan Media Hiburan.
Penyanyi yang popular dengan lagu Dalam Diam Aku Menyintaimu itu memaklumkan sambutan diterimanya di sana memang luar biasa terutamanya di Kepulauan Riau.
Tidak hanya dijemput menyanyi dalam program anjuran parti politik, Poey juga turut menerima undangan di majlis perasmian mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
“Di Indonesia, penontonnya memang dahsyat. Saya pernah buat persembahan di hadapan lebih 8,000 dan 25,000 penonton. Ia merupakan program percuma untuk parti politik. Saya tidak memihak mana-mana parti.
“Saya hanya akan memberikan kesedaran kepada penonton untuk keluar mengundi. Saya juga pernah membuat persembahan untuk dua buah parti politik pada hari yang sama.
“Untuk majlis perasmian mesin ATM pun mereka jemput. Rata-rata mereka lebih suka saya menyanyikan lagu Sting berbanding lagu-lagu cover Indonesia,” ulas penyanyi berusia 53 tahun itu.
Kini lebih dikenali di Indonesia berbanding tanah kelahiran sendiri, Poey berpendapat bahawa segelintir peminat atau pendengar muzik di Malaysia bersikap agak hipokrit.
“Saya tak rasa diri tidak dihargai. Cuma saya merasakan ada segelintir pihak yang hipokrit. Senang cerita, orang luar lebih menghargai kita berbanding orang kita sendiri.
“Bila jumpa di luar, peminat kita suka sahaja dengan kumpulan Sting cuma mereka malu untuk mengungkapkannya. Mereka lebih suka beritahu yang mereka minat Metalica atau Britney Spears.
“Padahal mereka tahu dan kenal dengan lagu-lagu nyanyian Stings. Malah, budak-budak muda pun tahu lagu saya apabila ia tular di aplikasi TikTok.” Jelas Poey.