Sifat pemurah hati di kalangan rakyat Malaysia terbukti apabila warga asing berjaya meraih pendapatan mencecah RM10,000 sebulan dengan meminta sedekah.
Hanya menjalankan kegiatan mereka di pasar malam, warga asing ini juga tergamak menggunakan nama sekolah tahfiz atau institusi keagamaan untuk meraih simpati.
Susulan aduan daripada orang awam, pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor segera menjalankan operasi di sekitar pasar malam Gelang Patah, di Johor Bahru.
Operasi dijalankan Selasa lalu itu turut mendapat kerjasama pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Johor Bahru dan juga Jabatan Agama Islam Negeri Johor.
Hasilnya, anggota penguat kuasa JIM telah berjaya menahan seramai tujuh orang pengemis warga asing yang berusia di dalam lingkungan 34 sehingga 63 tahun.
Perkara berkenaan dikongsikan menerusi satu kenyataan yang telah dimuat naik di akaun media sosial Facebook milik agensi penguatkuasaan negeri Johor tersebut.
“Tindakan diambil susulan aduan awam berhubung kegiatan dan juga kewujudan pengemis serta pengutip derma membabitkan warga asing di pasar malam tersebut.
“Pengutip derma warga asing yang ditahan menggunakan alasan membiayai sekolah tahfiz atau institusi keagamaan untuk meraih simpati. Manakala pengemis pula terdiri daripada mereka yang cacat anggota badan.
“Penahanan ini membuktikan ada dalam kalangan mereka yang meraih pendapatan sehingga RM300 sehari atau RM10,000 sebulan,” kata Pengarah JIM Johor, Baharuddin Tahir.
Menurut Baharuddin, pengemis dan pengutip derma yang berjaya ditahan ini terdiri daripada tiga lelaki warga Kemboja dan juga dua pemuda warganegara Thailand.
Dalam operasi yang sama, seorang lelaki dan wanita warga Indonesia turut ditahan ketika anggota Imigresen melakukan pemeriksaan di sekitar gerai berdekatan.
Agensi penguatkuasaan tersebut berikrar akan mempergiatkan lagi operasi supaya kegiatan mengemis dan pengutipan derma ini dapat dibanteras daripada berleluasa.
“Jabatan Imigresen Malaysia turut memandang serius terhadap isu warga asing yang telah menyalahgunakan pas atau permit masuk diberikan kepada mereka.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan sekiranya terdapat PATI (Pendatang Asing Tanpa Izin) yang melanggar undang-undang.” Ulas Baharuddin lagi.