Sekeping gambar memaparkan kanak-kanak autisme iaitu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin bersama ibunya telah berjaya mencuri perhatian ramai, baru-baru ini.
Mana tidaknya, gambar majlis konvokesyen tersebut disunting sendiri oleh ibu Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf sebelum dimuat naik di akaun Instagram miliknya.
Dalam hantaran yang mengundang sebak itu, Ismanira menzahirkan ucapan tahniah kepada arwah anaknya sempena berakhirnya sesi prasekolah kanak-kanak tersebut.
Wanita berusia 29 tahun itu turut berterima kasih kepada pihak sekolah kerana sudi menjemputnya untuk menghadiri majlis konvokesyen arwah anaknya, semalam.
“Tahniah! Selamat bergraduasi Zayn Rayyan. Mommy bangga dengan setiap pencapaian Abang. Tak kira besar atau kecil mana pun pencapaian Abang, Mommy tetap bangga.
“Terima kasih kepada warga SK Damansara Damai (2) di atas jemputan ke Majlis Konvokesyen semalam (Khamis). Ia akan menjadi kenangan yang indah buat kami sekeluarga,” tulisnya.
Ismanira bagaimanapun berjaya meruntunkan hati orang ramai apabila meluahkan kekecewaan kerana tidak dapat bergambar bersama anaknya seperti ibu bapa lain.
Tidak mempunyai pilihan lain, Ismanira hanya mampu menyunting imej Zayn Rayyan di dalam gambar tersebut untuk dijadikan sebagai kenangan majlis konvokesyen itu.
“Mommy tak dapat nak bergambar bersama dengan Abang macam ibu bapa yang lain. Mommy dapat ‘edit’ macam ini sahaja.” Ulas wanita itu dalam hantaran sama.
Tinjauan mendapati rata-rata pengguna media sosial berkongsi rasa sebak selepas membaca perkongsian menyayat hati yang dibuat oleh ibu Zayn Rayyan tersebut.
Ramai juga pengguna turut mendoakan supaya kes pembunuhan kanak-kanak autisme itu dapat diselesaikan agar keluarga arwah mendapatkan keadilan yang sewajarnya.
“Tahniah adik Zayn. Sebak mak cik hari ini. Ya Allah, kau rahmatilah arwah adik Zayn di tamanMU dan kurniakanlah keadilan yang seadil-adilnya buat keluarganya,” kata seorang pengguna.
“Tahniah Zayn. Sentiasa mendoakan keadilan untuk seisi keluarga Zayn. Anak syurga yang hebat kerana membanggakan hati ibu ayah,” kongsi pengguna lain yang turut mendoakan.
Terdahulu, jasad Zayn Rayyan ditemui di saliran air berdekatan takungan air kira-kira 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya.
Kanak-kanak autisme yang berusia enam tahun ketika kejadian itu dijumpai pada pukul 10 malam pada 6 Disember lalu iaitu selepas lebih 30 jam dilaporkan hilang oleh ibunya.
Kematian Zayn Rayyan kemudian diklasifikasikan sebagai kes pembunuhan selepas proses bedah siasat menemui kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu.
Baca juga: Mansuh pencen ahli politik, Anwar akan bawa isu ke kabinet