Raih populariti di usia muda, Naqiu bawa duit belanja RM15,000 dalam beg sekolah

Oleh WAN SITI AMINAH

Nama penyanyi, Naqiu kembali menjadi topik perbincangan hangat setelah membuat satu pendedahan mengejutkan mengenai zaman kegemilangannya, baru-baru ini.

Menerusi satu sesi audio siar atau podcast yang disiarkan di laman TikTok, penyanyi itu mengaku pernah membawa duit berjumlah RM15,000 dalam beg sekolah miliknya.

Duit ‘belanja’ sekolah tersebut merupakan sebahagian daripada pendapatan Naqiu yang berjaya diraih di umur belasan tahun ketika bergelar vokalis kumpulan Boboy.

Menurut pemilik nama sebenar Wan Naqiuddin Mohd Najib itu, kejayaan yang dicipta di usia muda itu menyebabkannya menjadi seorang pelajar nakal dan besar kepala.

“Kebanyakkan budak umur 16 atau 17 tahun baru nak kenal dunia. Sewaktu itu, saya sudah miliki segala benda yang orang sepatutnya dapat ketika usia mereka 25 atau 30 tahun.

“Jadi waktu itu memang saya macam nakal gila (sangat). Yang saya ingatlah, (paling banyak) pernah bawa RM15,000 dalam beg sekolah. Masa itu, zaman 2002 atau 2003,” katanya.

Bekas peserta program nyanyian All Stars Gegar Vaganza (ASGV) itu memaklumkan, dirinya langsung tidak memikirkan soal pembelajaran pada zaman kegemilangannya.

@showdalambilik

Kisah perjalanan hidup @Naqiu Mohd sepanjang bergelar anak seni #naqiu #showdalambilik #ohbulanofficial

♬ original sound – Naqiu Mohd – Naqiu Mohd

Malah, Naqiu juga enggan menyimpan pendapatan yang diperolehnya di dalam bank kerana mula ‘besar kepala’ ketika itu selain ingin mengawal perbelanjaannya sendiri.

“Saya sudah tidak fikir benda (pembelajaran) itu. Dalam buku teks pun ada duit. Di dalam beg sekolah, saya hanya bawa dua atau tiga buku teks sahaja. Yang lain semua duit.

“Tak mahu letak duit itu dalam bank. Macam cakap tadi, waktu itu saya sudah mula besar kepala. Perkara ini bukanlah terjadi masa awal-awal popular dalam umur 15 tahun itu.

“Tetapi terjadi setahun selepas itu. Sebab duit (pendapatan) tidak pernah berkurang. Malah semakin masuk (bertambah). Kau nak fikir apa lagi masa itu.” Ulas pelantun lagu Episod Cinta itu.

Dalam sesi bersama ‘Show Dalam Bilik’ itu, Naqiu turut menjelaskan bagaimana hidupnya berubah selepas albumnya tidak lagi mendapat sambutan sewaktu perbelanjaannya semakin meningkat.

Ketika itu, Naqiu sudah tidak lagi bergelar pelajar dan mula menyedari realiti sebenar kehidupan serta tanggungjawab lain yang perlu digalasnya sebagai orang dewasa.

Baca juga: “Kontrak tak ‘sign’, bayaran pun tertunggak” – Ruhainies perjelas isu tak komited jadi duta