Seorang wanita berusia 28 tahun tidak pernah menyangka bahawa dirinya bakal jatuh cinta dengan seorang duda yang sudah mempunyai tiga orang anak.
Menjalinkan hubungan secara rahsia, wanita tersebut merasa khuatir jika ahli keluarganya tidak dapat menerima kehadiran duda yang sebaya dengan ibunya itu.
Wanita dikenali sebagai Puteri itu juga tidak yakin bahawa dia sudah bersedia untuk menjadi ibu tiri kepada anak kekasihnya yang lebih berusia daripada dirinya.
Belum membuat keputusan untuk menentukan masa depannya, berikut adalah perkongsian daripada Puteri yang masih buntu dengan pilihannya.
“Aku Puteri, berumur 28 tahun yang bekerja sektor kerajaan. Aku dari latar belakang keluarga yang agak konservatif. Aku ada kawan perempuan yang sangat rapat. Sampai ke keluarga dia, semua aku kenal dan mereka juga kenal aku. Perbezaan umur aku dengan kawan itu agak jauh. Dekat 20 tahun juga.
“Tetapi perbezaan itu kami tak rasa. Dia belum kahwin. Kami dan kawan-kawan yang lain memang selalu jadikan dia rujukan. Kawan aku itu mempunyai pengetahuan dalam banyak perkara. Tetapi masalahnya aku dah jatuh cinta dengan abang dia yang sebaya dengan mak aku. Abang kawan aku itu duda.
“Isteri dia meninggal akibat kemalangan selepas terlantar sakit selama setahun. Abang dia menduda hampir lima tahun sebelum kami berkenalan. Dia ada anak tiga orang. Semua dah besar dan ada dua orang yang lebih tua daripada aku. Mula-mula curi pandang sahaja, lama-lama terjatuh hati.
“Tambah lagi bila dia berpindah dekat tempat aku kerja. Tetapi aku tak pernah keluar sekali dengan dia. Mesti ada kawan aku sekali. Mak ayah dia nampak macam senang dengan kehadiran aku. Disebabkan tinggal jauh daripada keluarga sendiri, jadi aku memang selalu melawat mereka.
“Abang dia pula pada awalnya curi pandang sahaja. Selepas aku berani tegur dahulu, baru dia mula bercakap. Tidak lama selepas itu kami terserempak dan bertukar nombor. Mula dari tegur sapa biasa, lama-lama meluahkan rasa di hati. Dan tepat jangkaan kami, masing-masing menaruh perasaan.
“Kekasih aku ini masih bekerja, memiliki syarikat sendiri. Tidaklah besar, tetapi bukan kecil juga. Dari segi peribadi, dia memang ayah dan suami mithali (ketika isterinya hidup). Dia menyatakan hasrat untuk meminang aku. Tetapi aku risau dengan penerimaan keluarga. Bagaimana pula kehidupan aku sebagai mak tiri nanti.
“Oleh kerana latar belakang keluarga aku agak konservatif, mereka memang sangat titik beratkan agama. Contoh, jika tak belajar tinggi tidak mengapa, asal ada pengetahuan agama. Kalau boleh nak ustaz sebagai menantu. Tetapi lelaki ini, memang kaki masjid cuma ada sedikit kekurangannya.
“Sebabnya, anak-anak dan arwah isterinya tidaklah semuslimah seperti kegemaran keluargaku. Jadi aku takut dari situ mereka sudah tak boleh terima. Takut sekiranya aku tidak terbimbing agaknya. Kawanku juga memang menentang hubungan ini. Risau keluarga aku tak dapat menerima abang dia dan keluarganya.
“Aku pun bukannya tiada calon lain yang ingin mendekati. Tetapi langsung tidak terbuka hati untuk menerima. Jadi kami sekarang terpaksa bercinta sorok-sorok. Cuma tak pernah keluar sekali. Aku sedang kumpul kekuatan untuk beritahu dan meyakinkan keluarga aku.
“Aku juga perlu melakukan persiapan mengenai penerimaan keluarganya juga. Berjaya ke perkahwinan jarak umur macam ini? Bagaimana dengan penerimaan keluarga dan sebagainya? Aku buntu. Istikharah aku mungkin belum istiqamah, itu yang belum dapat jawapan,” luah Puteri menerusi laman luahan atas talian.