Bosan dengan kehidupan sebagai anak seni, seorang pelakon Korea Selatan nekad meninggalkan dunia glamor dengan menjadi tukang cuci dan pemungut sampah.
Dilaporkan, pelakon Choi Kang Hee memberitahu dia tidak pernah berasa gembira dengan apa yang dilakukan sebelum ini meskipun sudah 25 tahun berada dalam industri hiburan.
Wanita berusia 47 tahun itu melakukan pelbagai kerja termasuk menjadi tukang cuci di restoran selepas tidak lagi aktif berlakon.
Bukan itu sahaja, Kang Hee turut mengambil upah sebagai tukang cuci di rumah selebriti.
“Sudah tiga tahun saya tidak berlakon. Saya beritahu kepada keluarga untuk berhenti dan mereka setuju.
“Saya tukar nombor telefon dan beritahu kepada pengurus supaya tidak lagi menerima sebarang tawaran berlakon.
“Saya sudah bekerja selama 25 tahun dan tidak rasa gembira. Saya mencuba sesuatu selain bidang lakonan. Jadi saya mengambil kelas penulisan.
“Saya juga buat kerja sambilan di restoran sebagai tukang cuci. Saya juga menjadi tukang cuci di rumah selebriti,” katanya dalam satu temu bual dengan media negara itu.
Menerusi satu perkongsian di saluran Youtube miliknya, pelakon Queen of Mystery ini juga dilihat bekerja dalam bidang pembersihan sampah.
“Saya bekerja mengutip sampah hari ini di tengah malam. Sungguh seronok bekerja apabila tidak ramai orang berada di atas jalan,” ujarnya.
Baca juga: Penat nak hadap singki asyik tersumbat? Ikut tip tukang paip ini, ‘gerenti’ tak sumbat dah!