Sebak dengar detik penghijrahan Norreen Iman, tak sangka hujan berhenti jadi asbab

Oleh WAN SITI AMINAH

Penampilan baharu pelakon, Norreen Iman yang kini mengenakan hijab dan pakaian menutup aurat telah memberi inspirasi kepada orang ramai terutama pengikutnya.

Bagi memenuhi permintaan peminat, Norreen yang dahulunya lebih dikenali sebagai personaliti media sosial tampil berkongsi detik penghijrahannya di laman Instagram.

Ketika kejadian, pelakon berusia 30 tahun itu terperangkap di dalam kereta bersama rakannya, Tya Adnan dan tidak dapat keluar ekoran hujan yang sangat lebat di luar.

Mereka berdua bagaimanapun tidak dapat meredah hujan begitu sahaja kerana Tya yang merupakan isteri kepada pelakon, Shukri Yahaya itu memakai baju jubah besar.

Keadaan bagaimanapun berubah sekelip mata selepas Norreen tanpa sengaja telah berkongsi keresahannya dengan yang Maha Esa di tengah kebuntuan dialaminya itu.

Tular di media sosial, perkongsian Norreen yang dibuat menerusi Instastory itu sempat dirakam sebelum dimuat naik semula oleh pengguna TikTok di platform tersebut.

“Aku tanya Tya dia kata payung tiada. Jadi aku keluar dahulu daripada kereta sebab Tya masa itu pakai jubah besar dan khimar panjang. Tetapi buka pintu sekejap habis tangan aku basah.

“Bila tutup pintu aku kata, ‘Ya Allah macam mana nak keluar kereta ini, hujan’. Tiba-tiba daripada lebat-lebat itu, bunyi hujan atas kereta berhenti. Hujan terhenti. Aku cuma niat sebab kesian baju Tya berat.

“Kami berdua tidak terkata di dalam kereta. Aku dan Tya berpandangan sebelum lari keluar kereta. Depan kedai aku suruh Tya pegang dada, punya kuat jantung. Aku tak tipu. Mata kami bergenang,” kongsinya.

Meskipun insiden itu biasa pada orang lain, namun Norreen merasa begitu tersentuh apabila Tuhan segera mengabulkan doa hambaNya yang memerlukan pertolongan.

Tidak semena-mena, kejadian hujan berhenti itu telah menjentik hati Norreen untuk berhijrah dan sekaligus menjadi titik tolaknya berubah menjadi insan yang lebih baik.

Sebelum ini, Norreen membuat perkongsian mengenai tindakannya yang memadam lebih daripada 1,000 gambar tidak menutup aurat di platform media sosial miliknya.

Walaupun sempat menitiskan air mata mengenangkan kenangan yang tersimpan di dalam foto tersebut, Norreen bagaimanapun tidak menyesal dengan keputusannya.

Norreen kemudian tampil dengan imej berhijab dan mula mengenakan pakaian yang longgar sebagai langkah awal dalam perjalanan penghijrahannya itu.

Baca juga: Tak rasa gembira jadi anak seni, pelakon cantik nekad tukar kerjaya jadi ‘cleaner’ dan pemungut sampah