Tular baru-baru ini mengenai isu majlis graduasi yang mencecah RM250 untuk seorang pelajar.
Perkara tersebut dilihat sebagai satu pembaziran apatah lagi diadakan di tempat mahal dan tidak semua ibu bapa berkemampuan.
Bagaimanapun perkara tersebut tidak dipersetujui pelakon Datuk Fizz Fairuz yang melihat majlis tersebut sebagai acara tahunan dan bukan selalu dilaksanakan.
“Bukan hari-hari kena keluar duit RM150 ke RM250.
“Beli beg dan kasut mahal boleh, takkan untuk anak nak berkira? Pendapat saya lah,” ujarnya di Instagram Story.
Tambahnya jika tiada persetujuan antara ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), maka pastinya majlis tersebut tidak berlangsung.
“Sekolah buat dekat tempat selesa dikatakan tidak sesuai, kalau buat dekat sekolah nanti dipersoal pula tempatnya sebab panas.
“Semua benda tak betullah sekarang ini, untuk anak-anak bagi sahajalah.
“Pihak sekolah buat pun atas persetujuan PIBG, kalau tak setuju tak mungkin buat,” jelasnya.
Bagi mereka yang tidak mempunyai anak ramai mungkin ini bukan satu isu tapi jika anak ramai maka sukar buat ibu bapa untuk mengeluarkan perbelanjaan besar.
Sebelum ini seorang pelakon Andrea Abdullah mempertikai trend graduasi pelajar di hotel mewah dan melihat ia seolah-olah hanya mahu bermegah di media sosial.
Tambahan netizen juga banyak tidak berpuas hati perlu mengeluarkan belanja untuk anak sebanyak itu demi graduasi di hotel mewah.