Pengguna media sosial Facebook semalam dikejutkan dengan laporan kehilangan seorang pemuda yang cukup dikenali di platform berkenaan iaitu Boss Mario.
Difahamkan, Boss Mario atau nama sebenarnya, Yew Boon Xiang dilaporkan hilang selepas keluar daripada rumahnya di Semabok, Melaka Tengah, awal pagi kelmarin.
Laporan kehilangan pemuda yang berusia 30 tahun itu dibuat kira-kira pada pukul 9.35 malam semalam oleh abangnya sendiri di Balai Polis Batang Tiga, Melaka.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit kemudian mengesahkan pihaknya menerima laporan kehilangan itu, lapor Malaysia Gazette.
Menurut Christopher, kehilangan Boss Mario yang juga selebriti media sosial itu mula disedari abangnya apabila pemuda itu langsung tidak menjawab panggilan telefon.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pada pukul 8 pagi kelmarin itu, abang kepada Boss Mario baru sampai ke kedai telefon milik pemuda berkenaan di Melaka Sentral.
“Setelah beberapa kali panggilan telefon adiknya tidak berjawab, yang tidak pernah berlaku sebelum ini, lelaki itu pergi ke rumahnya di Taman Pertam Jaya, Semabok untuk memeriksa keadaannya.
“Namun, adiknya itu tiada di rumah dan semakan pada rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, dia keluar rumah menaiki keretanya jenis Honda City pada pukul 3 pagi,” katanya memetik laporan Malaysia Gazette.
Bagaimanapun kira-kira pada pukul 6 petang kelmarin, abang Boss Mario mendapat tahu kereta adiknya diletakkan di kawasan Pantai Klebang dalam keadaan berkunci.
Oleh kerana kehilangan pemuda itu masih misteri, Christopher meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk segera memaklumkannya ke balai polis terdekat.
Terdahulu, khabar kehilangan personaliti yang mempunyai pengikut seramai 222,000 di Facebook itu turut ditularkan di pelbagai platform media sosial semenjak semalam.
Hantaran tersebut dimuat naik untuk memohon agar orang ramai menghubungi ahli keluarganya sekiranya mempunyai sebarang maklumat mengenai kehilangan lelaki itu.
Semoga Boss Mario cepat ditemukan dan dapat kembali ke sisi keluarganya dengan selamat.
Baca juga: Tak perlu susah-susah jahit kaki langsir yang meleret, DIY je guna cara ini, hasil pun kemas!