“Aku selalu Whatsapp suami jiran sebab dia suka masak, kami jadi rapat sehingga..”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita tidak pernah menyangka tindakannya berhubung dengan suami jiran melalui aplikasi Whatsapp boleh menjerumuskannya ke dalam kancah dosa.

Mulanya bertukar resepi kerana berkongsi hobi yang sama iaitu memasak, perbualan mereka bagaimanapun bertukar mesra selepas berkongsi masalah rumah tangga.

Akhirnya terperangkap dengan hubungan terlarang bersama jirannya sendiri, berikut perkongsian ibu kepada dua anak yang menyesali kecurangannya terhadap suami.

“Saya seorang isteri dan ibu kepada sepasang cahaya mata yang berusia tujuh dan sembilan tahun. Mencari rezeki sebagai seorang guru dan begitu juga dengan suami. Saya tinggal di sebuah kawasan perumahan di pinggir kota. Rata-rata penduduk di situ adalah ibu bapa muda yang usianya lebih kurang saya dan suami.

“Saya jenis gemar mengikuti apa-apa kegiatan di kawasan perumahan. Tidak kiralah sama ada anjuran masjid atau sebagainya. Manakala suami pula agak ‘culas’. Suami lebih suka meluangkan masa dengan hobinya iaitu memancing sehingga saya sering kali ‘naik angin’ dengannya.

“Pada pendapat saya, adalah satu keperluan penting untuk kita mengenali para jiran tetangga. Kerana jika ada kecemasan, boleh juga meminta pertolongan. Pada masa terluang, saya gemar memasak kerana itulah salah terapi untuk melepaskan tekanan bahkan minat itu memang sudah lama hadir.

“Hal ini berikutan saya dari kecil suka membantu mak yang merupakan pengusaha kantin. Memandangkan anak-anak masih kecil dan tidak terlalu banyak makan, saya sering kali berkongsi makanan yang dimasak dengan jiran tetangga. Maklumlah, sudah terbiasa masak dalam kuantiti yang agak banyak.

“Jadi daripada membazir, lebih baik disedekahkan kepada jiran tetangga. Secara tak langsung, makanan itu penyambung silaturahim antara jiran tetangga. Jiran sebelah kiri rumah saya berbangsa Cina. Walaupun berbeza bangsa, mereka gemar dengan masakan saya terutama kek keju hasil air tanganku.

“Malah, acap kali juga mereka menempahnya sekiranya ada keraian di rumah atau di pejabat. Manakala jiran sebelah kanan rumah pula ada pasangan Melayu. Mereka ini memiliki tiga orang anak. Saya paling rapat dengan jiran sebelah kanan ini. Bukan itu sahaja, anak-anaknya mereka juga berkawan dengan anak-anak saya.

“Kanak-kanak itu sering ke rumah saya. Kata mereka, seronok datang ke rumah saya kerana boleh makan macam-macam. Pasangan jiran itu isterinya, saya gelar sebagai K juga seorang guru. Manakala suaminya iaitu M merupakan pensyarah di institusi swasta. Namun si isteri memang jarang masak di rumah.

“Perkara itu saya ketahui menerusi anak-anak mereka. Rupanya hanya M yang suka memasak dan sering kali menyediakan makanan di rumah mereka. Nak dipendekkan cerita, saya dan M sering bertukar resipi menerusi aplikasi Whatsapp. Entahlah bila bermula, kami juga mula berkongsi masalah kerja, soal anak-anak.

“Tanpa disedari, kami telah menjalinkan kemesraan di luar batas antara jiran! Kami berdua saling menyayangi. Pernah kami cuba tepis perasaan itu namun tak berjaya. Ia tidak diketahui oleh pasangan kami. Tak dapat dibayangkan apa akan jadi kalau mereka tahu. Saya sendiri sedar ia berdosa kerana menduakan suami. 

“Tetapi bagaimana saya boleh tepis perasaan ini sedangkan setiap hari kami akan bersua muka? Perlukah saya berpindah? Tetapi saya tak mampu membeli rumah lain ketika ini. Saya ingin keluar dari perangkap cinta terlarang ini tetapi tak mampu.” Kongsi wanita berkenaan menerusi laman luahan atas talian.

Baca juga: “Setahun sekali, jangan berkira sangat dengan anak, kalau barang sendiri mahal pun beli” – Fizz Fairuz