Disyaki rogol saksi kes pemerasan gambar lucah, tempoh reman ke atas Inspektor dilanjutkan

Oleh MAISARAH AISYA

Semakin banyak salah laku yang terjadi dalam kalangan anggota polis sejak beberapa bulan ini termasuklah kes rogol dan kes bunuh.

Tular sebelum in mengenai kes pegawai penyiasat berpangkat Inspektor yang dipercayai merogol jurujual kosmetik dalam talian minggu lalu.

Wanita berusia 23 tahun itu pada mulanya dipanggil sebagai saksi untuk siasatan kes berkaitan pemerasan gambar lucah melibatkan rakan mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat.

Menurut Sinar Harian, tempoh reman ke atas suspek berusia 38 tahun itu dilanjutkan oleh Mahkamah Majistret Tumpat, sehingga Selasa.

Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi membenarkan tempoh lanjutan itu dibuat terhadap suspek.

Semasa prosiding berlangsung, peguam, Mohd Firdaus Zainal Abidin yang mewakili pegawai polis itu, memohon tempoh paling minimum diberikan kepada anak guamnya.

Mahkamah kemudian membenarkan lanjutan selama sehari bagi membolehkan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Pegawai polis berkenaan dilihat tiba di mahkamah dengan memakai jaket yang menutup muka dan kepalanya.

Suspek sampai dengan menaiki kereta peronda polis pada jam 8 pagi sebelum keluar dari mahkamah itu dengan kenderaan sama pada jam 10 pagi.

Suspek direman kali pertama selama tujuh hari dan berakhir pada Isnin.