Ramai meluahkan rasa tidak puas hati dengan keputusan Lembaga Pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Bukan hanya rakyat malah pemimpin politik juga tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut.
Bagaimanapun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan keputusan tersebut menjadikan kerajaan pimpinannya ‘longgar’ dalam memerangi rasuah.
Menurut Harian Metro, Anwar menegaskan kenyataan tersebut tidak benar kerana proses badan kehakiman membabitkan isu rasuah masih diteruskan.
“Tiada ugutan, malah (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ada di sini.
“Dia tak pernah beri kata dua kepada saya, ada hak dia atau parti memohon supaya Perdana Menteri dan Lembaga Pengampunan beri pertimbangan.
“Sama ada saya suka atau tidak, rakan atau musuh politik, prinsip keadilan dan proses itu harus dihormati,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Tiada istilah dendam politik lama
Pada masa sama Anwar melihat ramai pihak mempertikaikan keputusan Lembaga Pengampunan, namun tidak pernah bersuara dalam memerangi rasuah khususnya ke atas bekas pemimpin.
“Jadi kita nak jaga tata kelola atau kepentingan parti atau kepentingan kelompok mereka?
“Ini yang berlaku saudara sebab saya tengok beberapa kenyataan begitu keras terhadap seseorang yang sudah dipenjara, yang masih ada kesnya.
“Malah ada yang juga kata ini dendam politik lama, dendam apa saudara?” soalnya.
Kerajaan tak akan berhenti perangi rasuah
Anwar menegaskan, kerajaan pimpinannya tidak akan sesekali berundur daripada usaha memerangi rasuah kerana pendirian dalam perkara itu tidak pernah berganjak.
“Paling kuat saya diserang adalah (kerana) tindakan saya mengarahkan semua agensi mengambil (tindakan) tegas.
“Ini supaya dapat selamatkan negara daripada kecurangan pemimpin yang menggeledah, memunggah kekayaan luar biasa.
“Saya juga sudah berikan arahan kepada polis, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) ambil tindakan, saya tidak peduli siapa pun yang diambil tindakan,” tambahnya.
Baca juga: Najib tetap tak boleh bertanding PRU16 jika dibebaskan lebih awal, ini penjelasannya