Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yakin negara kini berada di landasan tepat bagi mengurangkan kebergantungan kepada bawang merah import.
Hal ini kerana, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah berjaya menghasilkan sebanyak tiga varian baharu membabitkan tanaman bawang merah tempatan.
Penanaman yang telah dimulakan pada tahun lalu itu dijangka bakal dapat memenuhi matlamat untuk mengurangkan import bawang merah negara sebanyak 30 peratus.
Bertepatan dengan kejayaan projek ini, Mohamad Sabu mengarahkan pihak MARDI untuk memulakan penanaman varian bawang merah tempatan ini secara berskala besar.
Melibatkan varian BAW-1, BAW-2 dan BAW-3, khabar gembira ini dikongsikan sendiri oleh Mohamad Sabu menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya.
“Insya-Allah, kita di landasan yang tepat untuk mengurangkan kebergantungan kepada bawang merah import.
“Pada tahun 2023, MARDI telah berjaya menghasilkan tiga varian Bawang Merah MARDI iaitu BAW-1, BAW-2 dan BAW-3.
“Tahun 2024 adalah masa untuk kita mengorak langkah kepada penanaman secara besar-besaran. Bersama kita jayakannya!,” katanya menerusi hantaran tersebut.
Terdahulu, Mohamad Sabu memaklumkan bahawa negara pernah terlibat dengan krisis bekalan bawang yang berlaku pada tahun 2020 lalu akibat bencana banjir besar di India.
Memberikan kesan yang besar kepada negara, krisis tersebut telah menyebabkan kenaikan harga bawang di pasaran lebih 30 peratus daripada RM6 kepada RM8 sekilogram.
Oleh yang demikian, kerajaan beriltizam mengurangkan kebergantungan import dengan merealisasikan penanaman bawang berskala besar dalam tempoh lima tahun akan datang.
Untuk mencaapai matlamat ini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyasarkan penanaman varian bawang tempatan ini di kawasan tanah seluas 1,447 hektar.
Baca juga: Tak puas hati tukang masak letak taugeh dalam mi, pelanggan bangga sepahkan sisa atas meja