Tak mahu aset jadi pengukur kejayaaan, Shila Amzah selesa tinggal di rumah kecil

Oleh MAISARAH AISYA

Ramai dilihat memilih untuk menunjuk kekayaan dengan rumah besar dan kereta mewah, namun masih ada yang selesa hidup bersederhana walaupun mampu.

Begitu juga dengan penyanyi Shila Amzah usai membuat keputusan menjual rumah banglo yang didiami keluarganya hingga mencetuskan perbalahan antara keluarga.

Bagi Shila, dia dan suami, Ubai lebih selesa hidup bersederhana dan tidak berlebihan malah lebih fokus kepada perancangan kewangan untuk hari tua dan anak-anak.

“Saya dan suami mahu menjalani hidup yang sederhana dan tidak berlebihan.

“Saya percaya, pada zaman sekarang, rumah bukanlah lagi satu aset sebaliknya liabiliti.

“Kami juga mahu menjalani hidup yang sederhana dan memiliki ‘financial freedom’ (kebebasan kewangan) dan tak nak pening kepala,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Lebih selesa dengan kediaman kecil

Walaupun sudah biasa tinggal di rumah lebih besar, Shila mengakui dia kini lebih selesa dengan kediaman lebih kecil.

Shila memilih untuk di rumah teres tiga tingkat yang saiznya jauh lebih kecil berbanding banglo didiami bersama keluarga.

“Rumah besar (banglo) nampak seperti benda yang berlebihan.

“Duduk di rumah teres yang lebih kecil ini dengan seorang pembantu pun sudah cukup,” katanya.

Mahu jalani kehidupan biasa

Tambahnya dia dan suami sedaya upaya cuba untuk menjalani kehidupan seperti orang biasa dan tidak menaik taraf demi memuaskan hati orang lain.

“Saya dan Ubai juga mahu mendidik diri kami jika Tuhan kurniakan kami rezeki yang lebih, Insya-Allah, kami tak nak cuba naikkan taraf lagi dan mahu relaks seperti orang biasa.

“Macam dulu baju ketika jadi artis pun berlambak dan sekarang bila sudah ada ‘stylist’ (penata gaya), baju saya tak simpan sendiri

“Saya kini boleh hidup macam minimalis sekarang,” ujarnya.

Baca juga: Muat naik video tanpa solekan, Che Ta ‘bengang’ digelar kembar Datuk Seri Vida