Satu laporan polis yang difailkan oleh adik bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud iaitu Datuk Muhammad Tufail tular di media sosial, baru-baru ini.
Berdasarkan laporan tersebut, Muhammad Tufail meminta polis menyiasat dakwaan mengenai abangnya yang dibawa keluar ketika menerima rawatan di sebuah hospital pakar di Kuching, Sarawak.
Muhammad Tufail dan ahli keluarga terdekatnya turut meminta pihak yang berkaitan untuk bertanggungjawab sekiranya ada sebarang kejadian tidak diingini berlaku ke atas Abdul Taib Mahmud.
Difahamkan, bekas pemimpin tertinggi Sarawak yang berusia 87 tahun itu dilaporkan dibawa keluar dari hospital dalam keadaan tidak sihat dan memerlukan pemerhatian serta rawatan sewajarnya.
Menurut laporan itu, Muhammad Tufail dah ahli keluarganya juga tidak mengetahui kedudukan terkini mahupun status semasa kesihatan ataupun perubatan Abdul Taib.
Tampil menjawab spekulasi, Toh Puan Raghad Kurdi Taib iaitu isteri kepada Abdul Taib menafikan dakwaan bahawa dirinya melarikan suami daripada hospital tanpa kebenaran.
Menunjukkan nota yang mengandungi tulisan tidak jelas, Raghad memaklumkan ia adalah bukti bahawa dakwaan dilemparkan ke atasnya tidak benar sama sekali.
“Itu tidak benar. Ini buktinya,” tulis Raghad membela dirinya menerusi satu hantaran yang dimuat naik menerusi Instastory sambil melampirkan foto dokumen dipercayai nota jururawat.
Nota bertarikh 2 Februari itu dipercayai diambil dari wad unit rawatan rapi (ICU) iaitu tempat Abdul Taib dirawat di mana ia ditandatangani seorang jururawat bernama Benedette Tommy.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sawarak, Datuk Macha Ata mengesahkan pihaknya ada menerima laporan pada tengah malam kelmarin mengenai kejadian Abdul Taib dilarikan dari sebuah hospital swasta.
Jelasnya, siasatan kini sedang dijalankan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai sehingga membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.
Sekadar info, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud merupakan bekas Ketua Menteri paling lama berkhidmat di Bumi Kenyalang daripada tahun 1981 sehinggalah 2014.
Abdul Taib kemudian berkhidmat selama tiga penggal sebagai Gabenor Sarawak dari 1 Mac 2014 sehingga 26 Januari tahun ini, apabila Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menggantikannya.
Baca juga: Ada pihak jual balik Dendeng Nyet Berapi di Shoppee dan Facebook, caj harga dua kali ganda