Tahu suami kahwin lain sehari sebelum pulang umrah, ini reaksi madu Marissa Dania

Oleh WAN SITI AMINAH

Hati wanita manakah yang tidak hancur apabila mengetahui dirinya dimadukan oleh suami ketika sedang mengerjakan umrah di tanah suci Mekah.

Itulah kejadian yang dialami Misya selepas suaminya, Aslam didakwa menikah sekali lagi dengan anak pelakon Norman Hakim dan Abby Abadi iaitu Marissa Dania Hakim.

Langsung tidak menitiskan air mata, Misya atau nama sebenarnya Umaisya Mazlan dikatakan hanya bersikap tenang menerima ujian berat dari Tuhan Yang Maha Esa.

Tampil berkongsi kekecewaan, perkara tersebut didedahkan oleh kakak Misya yang juga kakak ipar kepada Aslam iaitu Nadiah Mazlan menerusi hantaran di Instastory.

“Masa dekat sini (Mekah), aku nampak dia fokus buat ibadah (umrah). Segala doanya didengari. Sehari sebelum nak sampai ke tanah air, tahu-tahu diuji sebegitu rupa.

“Riak mukanya? Tenang sahaja. Air mata? Langsung tak ada,” akui Nadiah menceritakan situasi selepas adiknya menerima khabar perkahwinan kedua Aslam ketika mengerjakan umrah.

Menurut Nadiah, Misya yang juga ibu kepada dua anak itu bagaimanapun langsung tidak membuka mulutnya mengenai perkahwinan Aslam dengan Marissa Dania itu.

Lebih memburukkan keadaan, adik kesayangannya itu malah membuat keputusan untuk menjauhkan diri daripada keluarga selepas pulang dari mengerjakan umrah.

“Dia tak cerita dan mungkin tak nak cerita sebab benda pun sudah terjadi. Tetapi selalu nampak ‘repost’ di TikTok tentang emosi, luahan, kesengsaraan, penderitaan sampai jatuh sakit.

“Dia jauhkan diri daripada kami. Dari semua orang. Aku sedih. Sedih sangat sebab aku paling rapat dengan dia. Aku nampak semua itu. Aku cuba tak nak fikir. Cuba tak nak ambil tahu.

“Tetapi aku tak boleh, jiwa aku sakit. Hati aku sakit apabila tengok semua itu.” Kesal Nadiah kerana tidak dapat membantu adiknya yang lebih memilih untuk bersendiri.

Terdahulu, Misya mula menarik perhatian ramai pada September tahun lalu selepas mendedahkan kecurangan suaminya, Aslam dengan Marissa Dania di laman aplikasi X.

Dakwa Misya, hubungan sulit tersebut telah menyebabkan rumah tangganya dengan Aslam hancur sehingga mereka bercerai sebelum rujuk semula dalam tempoh eddah.

Kemudian timbul pula dakwaan bahawa Aslam dan Marissa telah berkahwin secara rahsia di Songkhla, Thailand pada Disember lalu ketika Misya menunaikan umrah.

Difahamkan, pernikahan tersebut dilakukan tanpa pengetahuan isteri pertama dan keluarga Marissa.

Baca juga: Marissa didakwa kahwin senyap-senyap di Songkhla, bapa tiri enggan jawab, suruh tanya sendiri pada Norman