Belum sampai sebulan, seorang lelaki sudah berjaya memecahkan rekod pembelian nasi kandar termahal di sebuah restoran terkenal di George Town, Pulau Pinang.
Lelaki yang sanggup mengeluarkan belanja sebanyak RM222 untuk sepinggan nasi kandar itu sekaligus telah memintas rekod dicatatkan pada sebulan lalu iaitu RM218.
Mempunyai selera yang besar, pemuda berkenaan mengambil lauk sebanyak 16 ekor sotong, 10 ekor udang, 2 ketul ayam, telur sotong, bendi dan seketul daging kambing.
Kembali mengundang perbincangan hangat, perkara tersebut dikongsikan menerusi hantaran yang dimuat naik oleh pengguna akaun Facebook, Nasi Kandar Sulaiman.
Berdasarkan komen yang ditinggalkan oleh pemilik akaun, pelanggan yang berasal dari Pulau Pinang itu berjaya habiskan semua lauk dalam tempoh 55 minit sahaja.
Menurut pemilik akaun, pelanggan yang merupakan TikTokers itu datang ke restoran berkenaan dengan rela hati dan tidak dibayar untuk tujuan promosi atau ‘gimmick’.
“Pecah rekod RM222. Rekod yang tertinggi setakat ini. Fuh, orang Pulau Pinang lagi. Seorang makan semua ini. Amat-amat dahsyat. Kita (pemilik) tak paksa apa-apa.
“Kita bukan panggil dia makan. Dia sendiri yang datang makan dan pecahkan rekod. Memang padu,” kongsi akaun Facebook milik restoran berkenaan pada Rabu lalu.
Tinjauan di ruangan komen mendapati, rata-rata pengguna media sosial memberi respon positif terhadap perkongsian rekod pembelian termahal nasi kandar tersebut.
Walau bagaimanapun, beberapa individu turut tampil menasihati supaya pelanggan nasi kandar tidak lupa untuk menjaga kesihatan dan bersederhana dalam membeli.
Sebelum ini, Restoran Nasi Kandar Sulaiman itu pernah menjadi fenomena sehingga para pelanggan sanggup beratur panjang hanya untuk menjamah makanan di situ.