A. Aida cadang buang nama anak dalam wasiat, tak dapat satu sen kalau nikah diam-diam

Oleh WAN SITI AMINAH

Penerbit sensasi, Datuk A. Aida kembali mencuri tumpuan selepas memuat naik satu hantaran berhubung isu yang sedang hangat diperkatakan di media sosial ketika ini.

Berkongsi kenyataan berbaur amaran, A. Aida mengakui tidak akan bertolak ansur jika anak-anaknya membelakangkan keluarga terutamanya dalam isu perkahwinan.

Malah, pemilik nama sebenar Zaidah Awang itu turut menyifatkan bahawa mereka yang bertindak berkahwin tanpa restu daripada keluarga sebagai bersikap derhaka.

Tidak mahu anak-anaknya terlibat dalam golongan tersebut, penerbit itu ‘mengugut’ akan mengeluarkan nama zuriat yang dilahirkannya sendiri sebagai pewaris harta.

“(Kalau) nak kahwin cakap. Mesti dapatkan restu dahulu. Jangan jadi anak derhaka dan kahwin senyap-senyap ya. Nanti satu sen pun hartaku tak akan dapat,” katanya.

Tular di media sosial, ‘amaran’ tersebut dikongsi ahli perniagaan berkenaan menerusi akaun Instagram miliknya bersama gambar anak gadisnya iaitu Wan Azevanatassha.

Difahamkan, anak kedua A.Aida yang berusia 23 tahun itu kini berada di Melbourne, Australia untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi di Victoria University.

Dalam hantaran yang sama, pemilik produksi A. Aida Production itu turut berkongsi harapannya sebagai seorang ibu berserta doa untuk mengiringi perjuangan anaknya.

“Tidak terucap penat-lelah dan susah payah ibu bagi membesarkan anak-anak. Apa sahaja kemahuan, ibu akan cuba penuhi. Sebagai balasan, belajarlah rajin-rajin.

“Jangan sia-siakan peluang yang ada. Semoga kau berjaya wahai anakku.” Luah wanita berkenaan di dalam ruangan kapsyen hantaran tersebut.

Tidak berniat untuk menyindir, A. Aida memaklumkan bahawa hantaran itu dibuat bagi menjawab gurauan Azevanatassha yang mahu mencari jodoh ‘bermata biru’.

Sekadar info, Wan Azevanatassha dan seorang wanita berusia 28 tahun iaitu Wan Az Aleesa adalah anak hasil perkahwinannya dengan vokalis kumpulan Spring, Ameng.

A. Aida juga mempunyai seorang cahaya mata hasil perkongsian hidupnya bersama pegawai polis, Suffian Sulaiman iaitu Muhammad Rahul yang kini berumur 16 tahun.

Baca juga: “Saya tak pernah bela dan menangkan anak” – Abby Abadi berang ada portal buat cerita palsu