Selepas sebulan Tyzo Xander dipecat Suria FM, bekas penyampai radio itu kini dilapor telah memulakan siaran dalam platform audio siar atau podcast sejak semalam.
Kemunculan Tyzo, 48, ternyata cukup dinantikan pendengar apabila berjaya mendapat hampir 130,000 tontonan dan 3.4 juta tanda suka hanya dalam masa sejam bersiaran di laman TikTok miliknya.
Tyzo atau Tuah Zolqarnain Idris, yang memulakan siaran jam 5.30 petang semalam berkata, setakat ini, dia masih belum memutuskan untuk bersiaran setiap hari.
“Sebenarnya saya sekadar ingin cuba-cuba, tak sangka pula dapat sambutan sangat menggalakkan.
“Ramai pendengar menyangka saya sudah hilang terus, jadi apabila muncul pada sesi ‘live’ semalam, mereka terkejut.
“Mereka beritahu rindukan keletah saya. Lebih membuatkan saya terharu apabila pendengar kanak-kanak berusia 9 tahun hubungi dan beritahu meminati saya kerana ibunya juga salah seorang pendengar saya sebelum ini,” katanya yang pernah memenangi trofi Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35.
Lapor BH Online, Tyzo berkata, dia masih lagi sedang menyesuaikan diri kerana belum mahir mengendalikan segmen secara ‘live’.
Katanya, dia memang merancang mengendalikan podcast tetapi selepas berjumpa dengan Linda Onn barulah inspirasi mewujudkan radio audio siar selepas direhatkan daripada Suria FM, bulan lalu.
“Selepas diundang sebagai tetamu untuk radio TikTok Linda Onn, saya mendapat inspirasi untuk buat perkara sama dan terus membeli peralatan.
“Walaupun ia sebenarnya sesi ‘live’, tapi saya nak buatkan suasananya nampak seperti konti radio sebenar.
“Buat masa ini, saya masih belum pasti sama ada akan bersiaran setiap hari ataupun tidak. Ia bergantung pada jadual sebab saya bimbang tak dapat berikan komitmen.
“Tapi saya akan cuba bawa kelainan setiap kali bersiaran, dengan membincangkan topik tertentu atau mungkin mengundang tetamu supaya pendengar tak bosan,” katanya kepada akhbar itu.
Sementara itu, mengulas tawaran sebagai penyampai radio daripada stesen radio lain, Tyzo berkata, setakat ini, tiada sebarang tawaran yang diterima.
Katanya, dia masih sayangkan dunia penyiaran radio dan berharap agar dapat meneruskan profesion dalam dunia radio.
“Setakat ini, belum ada lagi tawaran daripada mana-mana stesen radio.
“Sekiranya ada, memang saya berminat. Ini kerana saya masih sayangkan kerjaya sebagai penyampai radio.
“Jadi, sementara belum ada ruang dan peluang, saya bersiaran di aplikasi TikTok. Daripada tak buat apa, dapat juga saya asah bakat supaya kebolehan tidak pudar,” katanya.
Baca juga: “Wanita itu bercinta dengan suami aku. Tapi dia tak salah, mungkin kifarah sebab aku..”