Bawa anak pergi pasar malam, netizen puji penyanyi nombor 1 negara ‘humble’

Oleh MAISARAH AISYA

Biasanya masa kecil, anak-anak akan rasa teruja pergi ke pasar malam dengan ibu bapa, itulah masa bersama keluarga bagi mereka.

Walaupun sedar diri terkenal dan sering diikuti peminat, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza masih lagi merendah diri dan cuba menjadi ibu seperti wanita lain.

Tular video di media sosial mengenai Siti yang membawa anak sulungnya Aafiyah tanpa ada rasa segan atau kekok ke pasar malam sambil ditemani pengawal peribadi.

Menurut Harian Metro, Siti dikatakan ketika itu berjalan-jalan di pasar malam di Kuala Lipis, Pahang.

Dalam video tersebut juga menunjukkan ada juga pengunjung mengerumuninya, tetapi masih dalam keadaan terkawal.

Video gelagat dan aksi mesra antara ibu dan anak itu dimuat naik pengguna TikTok, Faizah Faizal.

Bukan hanya itu, Siti juga mengunjungi gerai yang menjual mainan dan membenarkan Aafiyah untuk memilih satu.

Rata-rata netizen memuji sikap rendah diri Siti yang membenarkan anaknya untuk merasai pengalaman berkunjung ke pasar malam walaupun dilahirkan dalam keluarga berada.

“Mesti Siti nak anaknya rasa bagaimana dia pergi pasar malam masa kecil dulu. Nostalgia baginya, kadang-kadang kita rindu zaman kita kecil.

“Seorang ratu yang merendah diri.

“Ramai yang berjaya, terkenal, mewah harta duit ringgit, tapi yang susah di jumpa, rendah diri tak pernah lupa asal usul, itulah Siti Nurhaliza,” antara komen netizen.

Baca juga: 8 tahun kahwin, Marsha Milan kongsi mentua dan suami tak pernah bagi tekanan, mahu buat IVF hujung tahun ini