Fahmi bela nasib Ross Ariffin, bantu dapatkan rumah lepas bertahun hidup gelandangan

Oleh WAN SITI AMINAH

“Betul ke? Saya harap ini bukan mimpi,” itulah reaksi komposer terkenal, Ross Ariffin apabila akhirnya menemui tempat berteduh selepas tiga tahun hidup gelandangan.

Kejadian tersebut diceritakan semula oleh Menteri Komunikasi dan Digital iaitu Fahmi Fadzil menerusi satu hantaran tular yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya.

Akhirnya bertemu empat mata, Fahmi mula terpanggil untuk mengenali Ross Ariffin selepas membaca berita berhubung penderitaan hidup komposer itu di media sosial.

“Setelah kami bertemu, Ross menceritakan kisah sedih beliau makan di jalanan. Kadang-kadang menjamah sisa-sisa makanan yang ditinggalkan di atas meja. Kadangkala tiada langsung makanan seharian sampai ke malam.

“Dengan nada percakapan yang tersekat-sekat akibat pernah mengalami serangan strok sebanyak dua kali, tangan Ross juga pernah patah dan masih tidak sembuh. Kesengsaraan beliau sebagai gelandangan hingga ke tahap jatuh menggigil.

“Beliau pengsan akibat berada di tengah hujan terlalu lama dan menjangkakan hayatnya akan berakhir di situ. Namun, Allah SWT juga yang merencanakan segalanya,” kongsinya dalam hantaran tersebut.

Selepas kejadian tersebut, pemilik nama sebenar Roslan Ariffin Jamil itu diberikan tempat tinggal sementara oleh Exco Kebudayaan Negeri Melaka, Abdul Razak Abdul Rahman dengan bantuan Pengerusi Persatuan Karyawan Malaysia Negeri Melaka dan ahli jawatankuasa Karyawan Melaka, Datuk Zainal Abu Bakar.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai itu kemudian meluahkan hasrat untuk membantu Ross Ariffin mendapatkan sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Menurutnya, rumah berkenaan adalah hasil permohonan yang diajukan beliau sendiri kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

Kagum dengan tekad dan iltizam komposer berusia 62 tahun itu untuk kembali berkarya, Fahmi turut mengadakan perbincangan bersama RTM supaya Ross dapat bekerjasama dalam penciptaan lagu baharu.

“Ross nampak begitu bersemangat untuk kembali berkarya. Pertama kali selepas tiga tahun menjadi gelandangan, Ross berpeluang untuk duduk di depan sebuah Grand Piano.

“Jari-jemarinya terus lincah meneroka papan kekunci. Saya sendiri berasa terharu melihat seorang komposer legenda melepaskan kerinduannya bermain alat muzik.

“Selagi mana saya berperanan sebagai Menteri dan Kerajaan Madani masih mentadbir, percayalah bahawa kami akan berusaha sedaya upaya buat para seniman.” Ulasnya.

Sekadar info, antara lagu gubahan Ross yang popular ialah Dia nyanyian Fauziah Latiff, Kau dan Aku untuk Ning Baizura dan Kurniaan Dalam Samaran dendangan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Baca juga: Podcast pertama Tyzo lepas sebulan dipecat Suria FM dinantikan pendengar, dapat 3.4 juta tanda suka