Kutip RM1,000 sebulan, lelaki guna duit hasil wakaf Al-Quran untuk bayar bil, sewa rumah sendiri

Oleh KIM SYAZIE

Wang hasil kutipan wakaf bukannya digunakan untuk membeli al-Quran, sebaliknya seorang lelaki didakwa membelanjakannya untuk kegunaan diri sendiri dan melunaskan bil utiliti.

Perbuatan itu didedahkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), selepas lelaki berusia awal 40an itu mengaku boleh meraih pulangan sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan hasil kutipan dari orang ramai.

“Lelaki itu ditahan ketika sedang membuat kutipan atas nama wakaf al-Quran.

“Dalam siasatan awal yang dijalankan, dia mengaku boleh meraih sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan hasil kutipan ‘wakaf al-Quran’ daripada orang ramai.

“Dia juga mengaku wang tersebut tidak digunakan untuk membeli al-Quran bagi tujuan diwakafkan.

“Sebaliknya digunakan untuk membayar sewa rumah, bil utiliti, makan minum dan keperluan harian isteri dan empat orang anaknya,” katanya seperti dilapor Astro Awani 

JAIPk melalui bahagian penguatkuasaannya berkata, lelaki tersebut ditahan dan akan disiasat kerana disyaki telah melakukan kesalahan Kutipan Derma Tanpa Kebenaran di bawah seksyen 43 Enakmen Jenayah (Syariah) 1992.

Sehubungan itu katanya, semua individu atau mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat mahupun yayasan yang ingin membuat apa-apa kutipan derma /wakaf dengan tujuan manfaat dan kebaikan untuk orang Islam hendaklah terlebih dahulu mendapatkan kebenaran bertulis daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.

Baca juga: Suka makan tapi tak reti siang? Ini tips penting nak pastikan ikan pari tak berbau