Tak sangka individu sanggup bayar RM300,000, mahu Hafreez Adam jadi ‘anak ikan’

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon, Hafreez Adam kembali mencuri tumpuan orang ramai baru-baru ini selepas membuat satu pendedahan yang mengejutkan di akaun media sosial miliknya.

Berdasarkan satu hantaran di Instastory, pemilik nama sebenar Hafreez Adam Aizat Zahalan itu mendedahkan dirinya ditawarkan wang tunai oleh individu tidak dikenali.

Menjijikkan, wang berjumlah RM300,000 tersebut bukanlah bayaran untuk tawaran lakonan sebaliknya ganjaran buat Hafreez sekiranya bersetuju menjadi anak ikannya.

Tanpa segan silu, tawaran tersebut difahamkan dilakukan oleh individu berkenaan menerusi pesanan secara terus (DM) yang dihantar ke akaun Instagram pelakon itu.

“Hai, saya nak tawarkan kepada awak RM300,000 untuk jadi anak ikan. Bukan nak ‘scam’ (tipu) awak, saya serius. (Kalau mahu) balas DM ini,” kata individu tersebut.

Tidak hanya membalas pesanan tersebut untuk menolak tawaran, pelakon drama Hati Perempuan itu turut memberikan nasihat dalam bentuk sindiran kepada pelaku.

“Kaya ya. Anda nak buat sumbangan dekat rumah kebajikan tak? Saya ada kenalan,” balas pelakon yang kini bergelar ahli perniagaan berusia 34 tahun itu.

Tangkap layar perbualan tersebut kemudian dikongsikan Hafreez menerusi Instastory di mana pelakon itu tidak menyangka bayaran menjadi anak ikan rupanya lumayan.

Sekadar info, pelakon kelahiran Kuala Lumpur itu kini telah terjun ke dunia perniagaan dengan menjual karya seninya iaitu lukisan di kanvas dan juga hiasan sarung telefon bimbit.

Pernah mengikat tali pertunangan dengan pelakon terkenal iaitu Zara Zya, Hafreez bagaimanapun belum berkahwin selepas hubungan mereka terputus di tengah jalan.

Diharapkan orang ramai dapat mencontohi sikap pelakon tersebut yang berani menolak untuk melakukan perkara terlarang itu walaupun menerima tawaran lumayan.

Baca juga: Kutip RM1,000 sebulan, lelaki guna duit hasil wakaf Al-Quran untuk bayar bil, sewa rumah sendiri