“Aku ni tak kerja, pemalas, terbagi pula ‘badan’ dekat BF, sehari sebelum nikah dia putuskan tunang”

Oleh MAISARAH AISYA

Jagalah kehormatan diri baik lelaki mahupun wanita kerana kita tidak tahu masa depan akan kekal bersama pasangan yang belum sah itu.

Sudahlah terjebak dalam kancah maksiat, bila nak berubah orang yang sudah diberi jiwa dan raga pula bertindak meninggalkan anda seorang diri.

Seorang wanita tidak menyangka dirinya yang sanggup memberikan kehormatan kepada teman lelaki akhirnya dibalas dengan kekejaman apabila dia memutuskan tunang sehari sebelum majlis.

“Nak mula dari mana ya, bila kau tak ada kerja dan pendapatan, tak ada rupa, malas dan bodoh.

Memang betullah apa yang mereka kata. Orang lain rajin berjaya, kau memerap je menyusahkan orang pula. Bila dah bodoh malas. Tak guna hidup.

Sakit tu, mencengkam jiwa. Tak guna sangatkah aku. Bodoh sangatkah aku.

Mereka dah penat tengok aku yang macam orang gila ni, akhirnya kata yang dilontarkan tu, menikam dalam.

Sentap. Mengurung lagi dalam bilik. Seharian tak keluar, bila lapar, ke dapur juga cari makanan. Mereka bersabar lagi, bukan tiap masa nak membebel.

Aku kena banyak bersyukur. Tak kena henyak sampai lumat. Tadi terbaca berita seorang gadis dipukul bapa dengan besi sehingga kepala jahit 12. Bapa mabuk dan dadah.

Pernah terjebak dalam pelbagai masalah sosial

Aku sebenarnya pernah mabuk, dadah dan terlanjur. Kerja gila zaman remaja. Bila tersedar nak lelaki yang terjebakkan aku ke kancah maksiat tu bertanggungjawab.

Kami nak kahwin. Keluarga tak restu. Masih belajar. Tapi aku tak mahu berlarutan dalam maksiat. Terasa berdosa.

Tidaklah mengandung tapi rasa mesti hidup dengan lelaki yang dah merosakkan tu sebab tak mahu lelaki lain yang akan terima gadis yang dah disentuh

Salahkah niatku selepas semua keterlanjuran itu. Aku sedia untuk terima kifarah, aku mahu bertaubat.

Putus tunang sehari sebelum majlis

Kifarahnya, aku gila. Sehari sebelum majlis nikah dia putuskan pertunangan. Aku yang dah buat majlis berinai nak lari mana, pelamin dan jemputan dan dibuat.

Bermula waktu itu. Aku malu dan takut bertemu orang, termasuk kawan baik dan saudara terdekat. Aku kebuntuan, kecewa dan benci diri sendiri. Rasa nak bunuh diri.

Tak habis belajar. Perlahan aku cuba kuat dengan memahami agama. Keluarga aku dulu juga jauh dari agama dan kini kami berdamai dengan kedukaan bila mula mendekati Tuhan.

Aku kembali hidup cuma sebagai orang yang menumpang dan takut dengan masyarakat. Aku tak berani keluar.

Syukur aku tak selamanya gila, aku ada terjumpa kisah mereka yang gila sampai berbogel sahaja, tak boleh fikir apa.

Dalam aku cuba nak memaafkan diri sendiri. Sebenarnya keluarga aku masih sulit nak menerima kejahatan aku dulu dan kemalasan aku kini.

Sakitnya memikirkan diri yang tak berguna apatah lagi bila melihat rakan baik dulu ramai yang sudah berjaya bahagia. Kenapa takdirku begini.

Syukur lah tak dibunuh kekasih gelap. Kes bunuh orang banyak sangat dah di sekitar kita. Syukur agar suatu masa aku akan jadi baik dan berguna.

Tapi, hati aku sangat rapuh. Bila masa akan hancur berkecai andai ada yang membaling nista. Aku cuba maafkan tapi hati aku memberontak, aku terkurung sepi.

Duit pun tak ada, tak boleh sembang banyak. Otak pernah senget, orang tak suka. Mungkin ada kata keramat untuk hidup lebih berguna.”

Baca juga: “Suami suruh berhenti konon dia boleh tanggung, rupanya gaji RM1.8k je, terpaksa aku cari kerja balik”