Seorang pengguna media sosial meluahkan rasa hairan apabila kepimpinan Pas mengeluarkan kenyataan mahu wakil negeri dilantik sebagai anggota Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).
Hal ini kerana, kehadiran wakil untuk setiap negeri sudah menjadi salah satu syarat utama dalam keanggotaan platform musyawarah yang bertanggungjawab dalam menyelaras hal-hal ehwal muslim itu.
Malah, kelibat Menteri Besar Kelantan yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas iaitu Datuk Mohd Nassuruddin Daud turut dilihat menghadiri Mesyuarat MKI Kali Ke-70 diadakan pada tahun lalu.
Berpendapat kenyataan itu sebagai tipu daya kepimpinan parti Pas, pengguna berkenaan turut memuat naik satu gambar memaparkan ‘kelibat’ Nassuruddin ketika menghadiri mesyuarat MKI sebagai bukti.
“Memang wakil dari negeri ADA di dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI). Cadangan parti Pas yang mahu wakil negeri memang diamalkan MKI pun.
“Tipu apa? Rujuk Mesyuarat MKI Kali Ke-70 yang diadakan pada 28 Ogos 2023 lalu. Siapa yang duduk di kerusi depan itu kalau bukan MB (Menteri Besar) Kelantan,” ciap individu itu menerusi satu hantaran di platform X.
Mesyuarat yang diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor itu turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Timbalan Pengerusi MKI.
Barisan Menteri Besar Negeri-negeri lain, Ketua Setiausaha Negara, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri serta tokoh-tokoh ulama dari seluruh negara turut dijemput menghadiri mesyuarat tersebut.
Terdahulu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan selaku Setiausaha Agung parti berkata, PAS akan menyerahkan memorandum cadangan untuk pertimbangan majlis yang dipengerusikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah itu.
Antara cadangan dalam memorandum tersebut adalah memastikan keahlian MKI merangkumi wakil-wakil dari kerajaan negeri sebagai pihak yang terkesan terhadap tindakan membabitkan undang-undang syariah.
Difahamkan, tindakan itu diambil susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lalu yang mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, terbatal dan tidak sah.
Sekadar info, MKI adalah institusi yang mendapat perkenan Majlis Raja-Raja bukan sahaja dari segi penubuhan, malah keahliannya di mana ia dianggotai mufti setiap negeri, alim ulama, golongan profesional serta ahli beragama Islam dari Perkhidmatan Kehakiman dan Undang-undang.
Baca juga: Restoran Cina Muslim di Bukit Bintang ini mampu raih jualan cecah RM80,000 sehari