Tak sampai sebulan kerja di Suria FM, Chiwan bongkar ‘cabaran’ ganti tempat Tyzo

Oleh WAN SITI AMINAH

Belum sampai sebulan bekerja di Sinar FM, pelawak iaitu Chiwan terpaksa berdepan dengan realiti sebenar dalam menjalankan tugas sebagai penyampai radio.

Meskipun impiannya menjadi penyampai radio sudah tercapai, pemilik nama sebenar Muhammad Azwan Sabri itu mengakui bahawa ia bukanlah satu tugas yang mudah.

Jelas Chiwan, mereka yang bekerja di dalam bidang tersebut perlu mempunyai ilmu, persiapan rapi dan juga pemikiran pantas supaya dapat menghibur pendengar radio.

Kesukaran dialami oleh Chiwan bagaimanapun dapat diatasi dengan bantuan rakan penyampai iaitu Sharifah Shahira yang sentiasa bersedia untuk memberi tunjuk ajar.

“Pada awalnya memang sukar. Sebabnya kalau menjadi tetamu jemputan, kita boleh bebas sedikit bercakap. Tetapi, keadaan berbeza kalau bertugas sebagai penyampai radio.

“Kita perlu mengawal panel radio sambil bercakap. Jadi otak kena berfungsi dengan laju. Alhamdulillah, sekarang semakin membiasakan diri. Pengalaman yang sangat menyeronokkan dan ini yang Chiwan nak sebenarnya (jadi penyampai radio).

“Selepas itu, digandingkan pula dengan Kak Rara (Sharifah Shahira) iaitu orang yang petah bercakap. Jadi Chiwan banyak belajar dengannya bagaimana memastikan otak cepat berjalan,” katanya.

Perkara tersebut didedahkan pelawak berusia 34 tahun itu menerusi sesi temu bual bersama Mstar yang dimuat naik di akaun Youtube milik portal hiburan berkenaan.

Dalam temu bual yang sama, ahli kumpulan komedi Chilok itu turut meminta orang ramai memberinya waktu untuk membaiki kelemahannya sebagai penyampai radio.

“Chiwan belum jadi penyampai yang baik sebab baru sahaja menceburi bidang ini. Harap orang di luar sana dapat menerima dan memberi Chiwan sedikit masa.” Ulas bekas peserta Maharaja Lawak Mega (MLM) 2018 itu.

Sekadar info, Chiwan mula bergandingan dengan Sharifah Shahira yang juga mesra disapa Sheira itu di dalam segmen Suria Petang bermula daripada 21 Januari lalu.

Chiwan menggantikan Tyzo Zander sebagai rakan penyampai Sheira susulan penamatan kontrak penuh kontroversi melibatkan penyampai radio itu dari stesen radio, Suria FM.

Baca juga: Pernah dilamar Sudirman, tak sangka ini alasan Zaiton Sameon tolak pinangan