“Gigih aku daki tangga usung tilam sambil dukung bayi, suami sedap tidur dalam bilik”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita tidak pernah menduga, suami yang dikahwininya atas dasar kekeluargaan rupanya langsung tidak mempunyai hati nurani.

Bukan sahaja memiliki masalah dari segi komunikasi antara pasangan, lelaki itu juga tergamak mengabaikan emosi sang isteri yang baru sahaja melahirkan anak.

Khuatir sekiranya diri tidak mampu mengawal emosi lalu mencederakan bayinya, ini perkongsian wanita yang masih mencari ‘sinar’ dalam rumah tangganya.

“Hai, aku Sinar. Berumur dalam 30-an dan sudah berkahwin. Buat masa ini, aku suri rumah sebab baru bersalin anak pertama. Jarak usia aku dengan suami empat tahun. Kami dikahwinkan atas dasar keluarga. Masa mula-mula duduk rumah sendiri, aku akan pujuk diri sendiri kalau terasa hati atau merajuk.

“Pernah aku tak cakap dengan suami selama lima hari sebab tiada usaha nak pujuk. Perkataan maaf memang susah nak dengar. ‘I love you’ pun tak pernah. Selalu aku yang mula dulu. Sebelum aku mengandung, masih boleh larikan diri sekejap kalau merajuk sebab masih lagi bekerja.

“Sekarang tak boleh pergi mana-mana sebab ada anak kecil. Maknanya, hidup aku memang tinggal di rumah sahaja. Dari mula hamil, aku pergi pemeriksaan kesihatan sendiri. Dari kandungan usia tiga bulan hingga nak bersalin. Pernah pelawa nak hantar, tapi aku tolak sebab sudah biasa pergi sendiri.

“Jika suami bertegas nak ikut, memang aku bagi sebab nak tengok juga usaha dia. Sudahlah anak pertama, dia boleh biarkan sahaja aku. Balik dari klinik pula nampak dia tengah tidur. Aku pula kena terus masuk dapur, masak. Pernah aku mengidam, aku cakap dengan dia. Nak makan itu, nak makan ini. 

“Tempat-tempat yang teringin nak pergi makan, aku tag suami. Dia cakap boleh pergi. Tetapi langsung tak pernah dia tunaikan. Akhirnya aku yang cari sendiri. Kadang-kadang habis pemeriksaan, aku Whatsapp dia nak pergi mana, beli apa. Suami balas ‘OK’ sahaja. Tiada cakap apa-apa atau ‘hati-hati’ semua itu.

“Selalu bakal-bakal ayah ini kalau anak pertama dia ada usap-usap perut tak? Suami aku tak pernah nak pegang perut. Melainkan kalau aku yang suruh (bayi menendang). Peluk, usap kepala, urut pinggang atau kaki semua tak pernah aku rasai. Aku urut sendiri kalau sakit walaupun dia nampak. 

“Dia tiada hati nurani ke? Atau perasaan sayang itu masih tiada? Hairan. Barang-barang kelengkapan bayi pun aku yang paksa dia beli. Itu pun masa sudah hamil tujuh bulan. Aku tak tahulah dia gembira atau tidak ada anak ini. Tetapi nampak juga dia layan dan cium anak. Mungkin OKlah kot. Kali ini aku merajuk dua hari.

“Aku ajak suami keluar jalan-jalan, bayi kami pun usia hampir dua bulan. Boleh jalan-jalan sambil cari kereta sorong atau penggendong bayi sebab tak beli lagi. Aku duduk dalam kereta pun tidak mengapa, asalkan keluar. Aku bosanlah. Bayangkan, aku yang bekerja di bidang professional ini kena duduk rumah.

“Aku bosan, daripada kandungan usia tiga bulan lagi duduk rumah sampailah sekarang. Jangan tanya mengapa aku letak jawatan, aku ada sebab. Kalau aku cakap, nanti ramai kenal. Aku kata, jom hari ini keluar sambil survey harga dan barang adik. Aku sudah siap masak dan makan tengah hari. Tunggulah suami.

“Suami tak cakap apa sampai selepas solat Asar, baru dia ajak. Aku cakap tak payah sebab dah masuk Maghrib. Kamu semua bayangkan, waktu itu jalan sesak orang balik kerja. Kita ini bawa bayi. Aku tak suka keluar malam sejak ada anak ini. Memang aku elakkan. Suami pergi keluar seorang, cakap nak beli barang. 

“Suami tak tanya apa-apa. Barang apa yang habis. Telefon pun tak bawa. Jadi aku biarkan sahaja. Masak guna barang yang ada di rumah. Aku perasan juga, tak pernah dapat pakaian dari suami. Selalu beli sendiri. Baju raya tahun ini pun aku beli sendiri. Dia ambil kesempatan ke atas pengangguran aku ke?

“Rumah, bil dan barang-barang dapur semua dia bayar. Semalam pula, suami tinggalkan aku dengan anak di bawah sebab dia nak tidur. Rumah kami dua tingkat, Kebetulan anak aku buang air besar. Lagilah aku merajuk. Aku usung tilam bayi semua naik atas. Aku suruh suami beli crib, dia cakap membazir.

“Baiklah, aku mengalah. Suruh dia cari penggendong sahaja. Suami nak beli di atas talian sahaja sebab harga murah. Aku tengok harga belasan ringgit. Risau pula tak kukuh. Tetapi aku lebih suka kereta sorong. Tak tahulah suami aku ini fikir apa. Perkara ini penting bagi aku, tetapi mungkin tidak bagi suami.

“Kamu semua rasalah kenapa perangai suami aku macam ini? Adakah dia tiada hati nurani? Kalau kurang komunikasi itu mungkin betul. Selalu aku yang mulakan percakapan. Kalau aku senyap, dia pun senyap. Aku sudah penat nak mulakan semua benda. Otak sudah tepu. Pernah terbayang nak pukul anak.

“Setakat ini, aku mampulah kawal lagi. Pada pendapat orang lelaki, kenapa ye? Cuba kamu semua berikan pendapat? Sebab lelaki yang faham lelaki. Aku memang tak paham. Sebab suami tak sayang ke?.” Soal wanita berkenaan menerusi laman luahan atas talian.

Baca juga: Isteri menangis di pelukan, Ali Puteh jual kereta serta 7 trofi demi lunas hutang balu Abam