Isu penyelewengan dana Aman Palestin mengejutkan ramai pihak sebelum ini dan terbaru dua pegawai atasannya dihadapan ke mahkamah dengan 52 pertuduhan pecah amanah.
Bagaimanapun Pengarah Eksekutif Aman Palestin, Abdullah Zaik Abdul Rahman, bersama ketua pegawai eksekutif syarikat terbabit, Awang Suffian Awang Piut mengaku tidak bersalah.
Lebih mengejutkan dana yang terlibat dalam pertuduhan tersebut dikatakan berjumlah lebih RM20 juta.
Di Mahkamah Sesyen Shah Alam, kedua mereka didakwa melakukan jenayah pecah amanah atas kapasiti mereka sebagai pengarah kepada syarikat Samudra Champa Sdn Bhd yang diberikan amanah atas harta milik Aman Palestin.
Memetik Malaysia Kini, kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut antara 12 Mac 2018 hingga 3 Nov tahun lalu di Maybank cawangan Bandar Baru Bangi, Selangor.
Kesemua 52 pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Kadar ikat jamin cecah RM1 juta
Timbalan pendakwa raya, Ahmad Akram Gharib memaklumkan kedua pihak bersetuju agar kadar ikat jamin ditetapkan sebanyak RM1 juta.
Separuh jumlah akan dilunaskan kepada mahkamah hari ini dan bakinya perlu dijelaskan sebelum perbicaraan depan.
Hakim Anita Harun kemudian menetapkan 14 Mac sebagai tarikh untuk sebulan kes tersebut.
Media sebelum ini melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun milik Aman Palestin Bhd dan beberapa syarikat lain, membabitkan dana lebih RM15.8 juta.
Baca juga: Hina mahkamah: Permohonan maaf Dd Chronicle diterima, laporan polis diteruskan