“Sudah cukup RM75k!” – Ali Puteh bersyukur, bakal lunaskan hutang kakak ipar

Oleh MAISARAH AISYA

Sebelum ini Ali Puteh dilihat gigih menjual produk makanan dan barangan peribadi demi melangsaikan hutang dengan kakak iparnya, Nor Hidayah Hamzah.

Jumlah tersebut adalah melibatkan ganti rugi yang ditetapkan mahkamah selepas Ali kalah tuntutan saman fitnah yang difailkan Hidayah pada Mei 2020.

Dalam pada itu Ali berterima kasih kepada semua pembeli barangan peribadi dan produk yang diusahakan bersama isterinya.

“Siap! Terima kasih atas doa, terima kasih semua rakyat Malaysia. Semoga Allah membalas segala kebaikan anda.

“Terima kasih yang membeli barangan saya. Sudah cukup RM75,000,” katanya menerusi perkongsian dalam TikTok.

Ali sebelum ini gigih berusaha walaupun menerima pelbagai tohmahan daripada masyarakat sekeliling.

Wang hasil titik peluhnya itu akan digunakan untuk melangsaikan hutang tuntutan saman yang dibuat balu kepada Allahyarham Abam Bocey.

Rata-rata netizen memuji tindakan Ali yang tidak berputus asa dalam membayar hutang malah mendoakan perniagaannya berjaya.

“Ya Allah limpahilah rezeki berterusan sepanjang hayat untuk Ali Puteh sekeluarga.

“Sekarang baru korang tahu, mana salah dan betul. Sabar Ali, aku doakan kau kuat.

“Alhamdulillah, dulu aku pernah komen suruh kau bayar saman tu Ali.. Sekarang bila dah selesai aku doakan kau bangkit balik,” antara komen netizen.

Media turut melaporkan, kakak iparnya itu mendedahkan Ali masih belum menjelaskan hutang kepadanya sebanyak RM75,000.

Jumlah tersebut membabitkan ganti rugi yang ditetapkan mahkamah selepas pelawak terbabit kalah tuntutan saman fitnah yang difailkan Hidayah pada Mei 2020.

Baca juga: Isteri menangis di pelukan, Ali Puteh jual kereta serta 7 trofi demi lunas hutang balu Abam