Rupanya ini cara buat Bihun Sup ala masakan Cina – “Sedap, dijamin Halal pula tu!”

Oleh WAN SITI AMINAH

Hidangan ‘ala’ masakan Cina kini semakin mendapat tempat dalam hati masyarakat Malaysia tidak mengira golongan, bangsa mahupun umur.

Bukan sahaja dikatakan lebih sihat untuk kesihatan, hidangan ‘ala’ Cina juga mampu memikat selera pencinta makanan dengan masakan sederhana namun sangat lazat.

Hidangan ini bagaimanapun agak sukar dibeli dalam versi Halal kerana kebanyakkan restoran lebih gemar menggunakan label ‘mesra Muslim’ dari mendapatkan sijil sah.

Tidak perlu merasa sangsi, berikut kami kongsikan resepi Bihun Sup ‘ala’ masakan Cina berdasarkan hantaran pengguna Facebook yang menggunakan akaun Sri Sal.

Oleh kerana resepi ‘dijamin halal’ yang dikongsikan oleh Sri Sal ini adalah olahannya sendiri, pembaca boleh menyesuaikan sukatan bahan-bahan mengikut selera anda.

“Bihun sup ala masakan Cina. Macam lebih kepada versi Siam pun ada juga. Kalau nak masuk bahan lain pun boleh, terpulang. Ikut kreativiti dan tekak masing-masing ya. Tiada masalah,” katanya.

Bahan-bahan:

  • Bihun
  • Bebola ikan
  • Sayur sawi jepun
  • Bawang putih yang dicincang
  • Udang
  • Minyak masak (goreng bawang putih)
  • Kiub pati ayam

Bahan-bahan kicap cili (kacau sebati semua bahan)

  • Cili api
  • Kicap cair
  • Cuka
  • Garam
  • Gula

Bahan perasa (tabur atas bihun dalam mangkuk mengikut selera)

  • Cili kicap
  • Serbuk cili kering (chili flakes)
  • Lebihan bawang goreng bersama minyak
  • Daun sup atau daun bawang (kalau ada)

Langkah-langkah memasak Bihun Sup ala Cina

1. Masukkan sedikit minyak di dalam kuali. Kemudian, gorengkan bawang putih yang sudah dicincang sehingga warna menjadi keperangan. Jangan sampai hangit pula!

2. Tutup api kemudian tuangkan semua minyak bersama bawang putih yang sudah siap digoreng sebentar tadi ke dalam satu bekas ataupun mangkuk.

3. Masukkan air putih ke dalam satu periuk mengikut sukatan kuah yang anda mahu. Selepas itu, tambahkan sebahagian minyak dan juga bawang putih goreng tersebut.

4. Jangan lupa untuk masukkan kiub ayam di dalam periuk sebelum api dihidupkan sehinggalah kuah mendidih. Kemudian tambah garam dan perasa mengikut selera.

5. Selepas itu, bolehlah masukkan bebola dan udang serta bahan terakhir iaitu sawi. Setelah semua bahan masak, tutupkan api dan celur pula bihun. Akhir sekali, toskan air. Siap!

Baca juga: Macam ini rupanya ‘style’ orang nogori masak lemak cili api, yang penting jangan derhaka resipi