Seorang wanita sudah mula muak dengan sikap pemarah kakak iparnya yang masih tidak berubah semenjak sebelum berkahwin sehinggalah selepas melahirkan anak.
Keadaan semakin memburuk apabila kakak iparnya itu melahirkan anak dan tidak mahu mengalah dengan suaminya hingga lelaki tersebut bertindak melafazkan talak.
Mula menghidap penyakit meroyan selepas melahirkan anak kedua, berikut adalah perkongsian wanita bernama Dina yang puas melihat keruntuhan rumah tangga abangnya.
“Salam semua. Sudah lama aku karang sebab betul-betul nak beri pembaca faham. Aku anak kelima daripada enam adik-beradik. Berumur 24 tahun. Aku nak ceritakan dekat sini tentang abang sulung. Abang aku sudah berkahwin selama tujuh tahun. Dia ada dua anak dan jarak umur mereka dalam dua ke tiga tahun.
“Waktu abang nak berkahwin dahulu, mak aku tak berapa berkenan dengan pilihan dia. Sebab sepanjang mereka berkenalan lagi, asyik bergaduh sahaja. Tak dinafikan, abang kurang berdisiplin jika berkaitan dengan kerja. Lepak main ‘game’ sampai jam empat pagi walaupun esoknya dia bekerja.
“Akibatnya teman wanita (sekarang isteri) abang selalu mengamuk sakan kalau dia terlajak tidur nak pergi kerja. Mak akulah saksi episod pergaduhan berulang tersebut. Kakak ipar yang aku kenal adalah seseorang yang garang, tegas dan suka bergaduh. Mungkin sebab usia dia masih muda ketika itu.
“Sikap pemarah itu juga kemungkinan berpunca daripada perangai abang aku yang kurang berdisiplin dengan hidup dan kerja acuh tak acuh. Kerja sekejap selepas itu, berhenti. Kadang-kadang okay. Kakak ipar pula masa itu sudah ada pekerjaan stabil walaupun muda tiga tahun daripada abang aku.
“Tetapi abang yang aku kenal orangnya baik, lembut dan jaga percakapan. Aku rasa abang berubah jadi pemarah dan kurang sabar akibat dari perangai kakak ipar juga. Dipendekkan cerita, akhirnya mereka menikah. Tiga tahun kemudian, kakak ipar aku bersalin. Selepas sahaja bersalin, dia menjadi semakin pemarah.
“Emosi kakak ipar menjadi tak tentu hala, selalu mengeluh penat. Dia marah-marah abang katanya tidak mahu menolong. Sedangkan abang aku masa itu sudah mula bekerja ikut waktu pejabat. Alasan kakak ipar? Trauma beranak keseorangan ketika wabak Covid-19 menjangkiti. Katanya dia alami kesakitan beranak yang teramat.
“Di sini sudah nampak mengadanya kakak ipar. Orang lain pun bersalin juga, sampai berderet anak. Tetapi tiadalah kuat mengadu macam dia. Ada satu ketika, kakak ipar tengah berpantang. Mak suruh abang aku untuk balik ke rumahnya sendiri dan tidur di situ. Abang tak mahu sebab perangai menyakitkan hati kakak ipar inilah.
“Abang ipar guna alasan Covid-19. Jadi dia takut nak dekat dengan bayi. Semasa itu, pertengahan tahun 2021. Selepas dipaksa, barulah abang pulang melawat isteri dan anaknya. Itu pun sekejap sahaja. Tak tidur, balik semula selepas makan. Mak marah abang. Nasihat abang untuk didik dan jangan terlalu ikut telunjuk isterinya.
“Aku tak tahu berapa lama masalah berpanjangan. Tetapi abang ada cakap dia pun naik bosan dengan perangai kakak ipar yang mengada mahu berpantang di rumah ibunya lama-lama. Abang tak selesa duduk rumah mentua. Jadi kebanyakkan masa, dia balik rumah sendiri atau rumah mak.
“Abang hanya akan pulang ke rumah mentuanya apabila perlu sahaja. Kemuncaknya apabila mereka balik rumah sendiri pada hujung minggu. Abang cerita pagi itu, kakak ipar aku menjerit marah dekat abang sebab tak mahu tolong berikan susu dekat bayi mereka yang terjaga di tengah-tengah malam.
“Kenapa aku cakap kemuncak? Sebab tak lama selepas itu, abang ceraikan isteri dia sebab bergaduh berpanjangan masa berpantang. Puas juga hati kami semua sebab kakak ipar aku memang melampau. Mak dan saudara-mara aku yang sudah bersalin dan anak ramai pun tak pernah mengada serta meroyan macam dia.
“Terpaling tertekan selepas beranak kononnya. Tetapi mereka berdua rujuk kembali selepas kakak ipar merayu-rayu atas alasan anak. Baru dia sedar langit tinggi atau rendah gamaknya. Selepas kejadian itu, barulah nampak perubahan kakak ipar. Dia menjadi lebih baik dengan kami sekeluarga.
“Allah rezekikan kakak ipar mengandung lagi selepas itu. Anak kedua ini mereka diuji denvan zuriat yang tak sihat. Masa lahir, anak kurang oksigen. Jadi doktor kata, ada kesan pada masa panjang di otak dan tumbesaran anak. Kemungkinan untuk kurang upaya sampai ke besar itu sangatlah tinggi.
“Memang betul, anak itu kerap keluar dan masuk hospital walaupun masih bayi lagi. Maka terjadilah semula episod meroyan melampau kakak ipar aku. Tak fahamlah aku macam mana seorang ibu boleh tak berfungsi seteruk kakak ipar. Faham, dia sedih dengan keadaan anak. Tetapi kenapa sampai tak mampu sayang atau jaga anak?
“Sampai kena ada pembantu 24 jam untuk jaga anak dia? Sebab kakak ipar sibuklah melayan perasaan dia yang tak betul itu. Dengan alasan, depression dengan semua pengalaman dia sebelum ini. Selepas itu diuji pula dengan anaknya yang sakit. Pada aku, ini semua ketentuan Ilahi. Jadi kakak ipar memang gagal terima ujian Tuhan.
“Aku rasa kakak ipar kurang iman. Tidak mensyukuri apa yang Tuhan sudah berikan. Bayangkan, orang lain nak ada anak pun susah. Dia boleh senang-senang buat tidak endah endah dekat anak. Dekat sebulan juga kami cuba tolong dan pujuk kakak ipar. Tetapi, dia tetap dengan perangai menyakitkan hati yang kononnya meroyan itu.
“Pada aku, kakak ipar hanya berlakon meroyan. Sebabnya dia masih boleh bercakap macam biasa. Mandi dan buat perkara biasa dengan anak sulung. Tetapi, tak boleh buat perkara sama kepada bayinya. Terus depression kononnya. Apa yang aku tahu, dia ada pergi jumpa doktor psikiatri.
“Tetapi tak taulah apa kakak ipar cerita dekat doktor itu sampai dia boleh disahkan menghidap penyakit dengan segala macam ubat. Padahal, aku rasa dia lebih kepada kurang iman atau terlalu mengikut emosi. Sebab orang yang betul-betul depression, rasanya nak buat apa pun tak mampu. Nak bangun mandi pun tak boleh.
“Tentulah sejarah berulang. Kakak ipar diceraikan lagi sekali oleh abang yang sudah tak tahan dengan perangainya yang tak tentu hala. Binatang pun sayangkan anak. Semoga kita semua dijauhkan dari perangai tak semenggah seperti itu. Tak pernah lagi jumpa mak yang tidak sayangkan anak dalam kenalan aku.
“Keluarga kami memang sokong abang aku ceraikan kakak ipar. Sebab dia memang melampau kali ni. Langsung tak takut balasan tuhan kerana sanggup abaikan anak sendiri macam itu. Anak kedua sudah masuk setahun sekarang. Tetapi dia langsung tak endahkan. Mak sejenis apa macam ini?
“Persoalan aku adalah, kamu semua pernah ada pengalaman orang terdekat yang meroyan sampai langsung tak sayangkan anak? Tak kan meroyan sampai berbulan-bulan? Penat orang nak melayan emosi kau lagi. Selepas itu, kena fikir nyawa anak kau pula. Memang orang meroyan atau depression ini tak boleh fikir waras ke
“Fikirlah atas dasar perikemanusian atau naluri keibuan ke? Kau sebagai orang yang dewasa boleh kot bezakan baik dengan buruk. Tak takut ke balasan tuhan sebab tak tahu mensyukuri pemberianNya? Sekian.” Kongsi Dina (bukan nama sebenar) dalam satu hantaran yang dimuat naik di laman luahan atas talian.
Baca juga: Masih ada tertipu dengan ‘phone scam’! Peniaga putih mata hilang hampir RM700k