Rupanya ada cara pilih beg sekolah yang betul, ikut nasihat doktor ini agar anak tak cedera

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, pemilihan beg sekolah adalah salah satu perkara yang perlu ibu bapa titikberatkan dalam memastikan tumbesaran anak-anak tidak terjejas.

Pembelian beg yang salah juga boleh menjadi punca kecederaan dan kemudaratan kepada kesihatan mereka sebagai contohnya, sakit tengkuk atau tulang belakang.

Jangan terpengaruh dengan keinginan anak yang mahu membeli beg yang cantik di mata, ibu bapa bolehlah mengikuti panduan dari Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan ini.

“Salah satu kelengkapan persekolahan yang penting adalah beg sekolah. Ibu bapa perlu membeli beg sekolah yang betul untuk elakkan kemudaratan pada anak-anak.

“Pemilihan beg yang salah boleh menyebabkan sakit tengkuk, sakit belakang, serta masalah-masalah tulang belakang yang lain, seperti skoliosis dan kyphosis,” katanya.

Panduan memilih beg sekolah yang betul

1. Jenis beg – Beg sekolah yang mempunyai dua tali penyandang adalah pilihan yang terbaik. Ingat, pastikan tali penyandang tersebut diisi dengan pelapik span tebal.

Bukan itu sahaja, ibu bapa juga digalakkan menasihati anak untuk memilih beg sekolah yang memiliki tali penyandang bersama klip penyambung di bahagian hadapan.

2. Rekaan dalaman beg – Pastikan beg dipilih mempunyai pembahagi ruang atau jalur pengikat di dalamnya supaya buku-buku yang diisi dapat disusun dengan rapi.

Malah, buku tersebut juga dapat disusun pelajar dalam jarak berhampiran di ruang yang dekat dengan tubuh badan pemakai sekaligus mengurangkan beban mereka.

3. Saiz – Untuk mendapatkan saiz yang terbaik, pastikan bahagian atas beg berada di paras tulang belikat dan bahagian bawah pula berada di lengkung pinggang anak.

Sebaliknya, sekiranya bahagian bawah beg mencecah punggung pelajar, ini memberi makna bahawa saiz beg dipakai mereka terlalu besar dan memudaratkan kesihatan.

Cara menggalas beg sekolah:

  • Pastikan berat beg dan isinya tidak melebihi 15 peratus berat badan pemakai. Jika berat badannya adalah 20 kilogram (kg), maka berat beg tidak boleh melebihi 3 kg.
  • Sekiranya muatan masih berlebihan, keluarkan barang daripada beg galas dan masukkannya ke beg yang dipegang tangan atau dilekapkan ke dada sahaja.
  • Pendekkan tali penyandang hingga beg rapat ke tubuh dan tidak londeh. Langkah ini penting agar beban dapat ditampung dan beg tidak berhayun semasa berjalan atau berlari.
  • Jangan benarkan anak menggalas beg dengan menggunakan satu tali penyandang sahaja. Bebanan yang tidak simetri boleh menyebabkan skoliosis pada anak anda.

Baca juga: “Kakak, abang senang betul bagi alasan dah kahwin, habis aku yang 18 tahun ni kena jaga mak ayah seorang diri”