Pemuda ini dipuji lepas belanja gambar ambulans isi minyak, selama ini ingatkan hospital ada petrol pam sendiri!

Oleh KIM SYAZIE

Ruangan media sosial Facebook terus menjadi medium netizen meluahkan apa yang terbuku di hati mereka selepas satu topik mengenai ambulans diutarakan.

Rupa-rupanya ada di antara mereka tidak pernah melihat sendiri bagaimana kenderaan membawa pesakit atau van ambulans mengisi minyak di stesen minyak.

Bermacam-macam reaksi diberikan mereka antaranya umur sudah 44 tahun, tetapi tidak pernah terserempak dengan van ambulans mengisi minyak.

Lantas, seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Anuar Muhammad memuat naik gambar van ambulans yang sedang mengisi minyak kenderaan itu di Petronas.

Gambar yang dimuat naik lelaki itu kemudiannya mendapat reaksi positif daripada warganet, malah ada juga netizen yang turut sama membantu memuat naik gambar, tetapi daripada sudut lain.

Seorang pengguna laman maya dikenali Ah An mengucapkan terima kasih kerana menyiarkan gambar yang menjadi ‘topik perbualan’ netizen itu.

Warganet yang menggunakan nama Pengomen Ikhlas pula menyifatkan ini adalah kali pertama dia melihat ambulans mengisi minyak.

“Haa lega dah terjawab segala persoalan!,” kata seorang lagi netizen sambil disusuli emoji ketawa.

Apa pun, diharapkan pengguna jalan raya sentiasa peka terutamanya dalam memberi ruang jika ternampak atau terdengar van ambulans membunyikan siren tanda kecemasan untuk ke tempat dituju.

Baca juga: Rupanya ada cara pilih beg sekolah yang betul, ikut nasihat doktor ini agar anak tak cedera