3 pemimpin NGO Islam dalam senarai FBI, KDN cuba dapatkan gambaran tepat

Oleh MAISARAH AISYA

Semakin banyak kes melibatkan mereka yang aktif menyebarkan tentang peperangan di Gaza dicari oleh pihak berkuasa luar negara.

Sebelum ini seorang wanita disoal siasat sejurus tiba di lapangan terbang antarabangsa Singapura berikutan hantarannya menyertai protes jalanan menyokong Palestine semasa berada di Jepun.

Terbaru media melaporkan, tiga pemimpin daripada NGO Islam berasingan dari Malaysia yang aktif dalam menguruskan bantuan ke Asia Barat disenaraikan dalam Pusat Saringan Pengganas (TSC) oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Memetik Bernama, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mendapatkan gambaran tepat dan akan menyemak fakta berkaitan tiga pemimpin tersebut.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan beliau sudah menghubungi Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berhubung perkara itu.

“Saya pun baru mengetahui perkara itu dua hari lepas dan sudah menghubungi Ketua Polis Negara untuk dapat gambaran tepat.

“Apa yang kita tahu ialah FBI membuat permohonan berkaitan perkara itu, jadi kita kena semak dahulu fakta yang tepat.

“Saya tak bersedia beri fakta tangkap muat atau samar-samar,” katanya seperti dipetik Bernama.

Disebabkan itu, ketiga individu diarahkan untuk tidak terlibat dalam Ops Ihsan yang menguruskan penghantaran bantuan kemanusiaan rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin di Gaza.

Pada masa sama Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan Jismi Johari sebelum ini mengesahkan kesahihan surat pemakluman berkenaan yang diterimanya daripada Kementerian Luar bahagian Asia Barat.

Sekadar perkongsian, Ops Ihsan diilhamkan bekas Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Ia adalah satu platform kerjasama antara Kementerian Luar dan NGO bagi menggerakkan sokongan dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Baca juga: 3 bulan akaun bank dibeku SPRM, 100 pekerja Aman Palestin terpaksa cuti tanpa gaji